MELAKA – Kerajaan Melaka tidak akan sama sekali berkompromi terhadap tahap kebersihan tandas di negeri ini, terutamanya dengan status negeri berkenaan sebagai tumpuan pelancong dalam dan luar negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata pihaknya menerima banyak rungutan berhubung tahap kebersihan tandas di negeri itu termasuk di rumah ibadat seperti masjid, justeru pihaknya akan mengambil langkah tegas bagi memastikan perkara itu tidak berulang.
Katanya buat permulaan kerajaan negeri mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengadakan Seminar Pembinaan Tandas Sempurna kepada kontraktor pembinaan tandas di negeri itu bagi memastikan kemudahan tersebut memenuhi spesifikasi keperluan penduduk.
“Kita mahu kontraktor yang terlibat lebih memahami konsep sebenar tandas awam di negeri ini. Kita menerima rungutan terdapat tandas dibina kelihatan bersih, namun masih mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
“Kita memandang serius mengenai isu ini dengan memastikan bahawa syarikat kontraktor perlu mengambil kira ruang pengaliran udara agar bau tersebut tidak berpatah balik ke dalam bangunan tandas itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini. -BERNAMA