SEREMBAN – Sukan permotoran mini bike atau ‘moto pocket’ merupakan satu platform terbaik di peringkat akar umbi bagi mengasah dan mencungkil bakat pelumba cilik sebagai pelumba pelapis negara di masa depan.
Pengerusi Negeri Sembilan Minibike Community (N9MC) Feredaus Ismail berkata menerusi sukan itu, pelumba cilik akan diberikan pendedahan untuk merasai perlumbaan sebenar.
“Kebanyakan pelumba profesional juga bermula daripada mini bike. Pelumba cilik kemudian akan dipilih penaja yang hadir melihat potensi mereka dan akan diasah bakatnya untuk menjadi seorang pelumba profesional.
“Ada kalangan pelumba diasah bakatnya sejak berusia empat tahun lagi…tetapi rata-rata pelumba adalah berumur 10 tahun ke bawah dan dari situ kami akan mendidik mereka agar lebih fokus dan berdisiplin untuk menjadi pelumba yang baik,” katanya kepada Bernama sempena N9MC Mini Bike Challenge Championship 2018 di sini, hari ini.
Feredaus berkata N9MC selain daripada menganjurkan perlumbaan, juga turut mengadakan bengkel menunggang mini bike dengan baik dan betul kepada orang ramai yang berminat yang akan diajar oleh pelumba-pelumba motosikal profesional Cup Prix.
Terdahulu, perlumbaan yang mempertandingkan tujuh kategori iaitu Beginner (bawah 10 tahun); New Selection dan Rookie (bawah 12 tahun); Novice (bawah 13 tahun); Expert (bawah 15 tahun); Open Machine (bawah 17 tahun) dan Open Master (atas 18 tahun), disertai 100 pelumba daripada seluruh negara. – BERNAMA