SERDANG – Majlis Sukan India Malaysia (MISC) sedang menyiapkan kertas cadangan berkenaan pelan pembangunan sukan dalam kalangan kaum India untuk dibentangkan kepada kerajaan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pembentangan cadangan itu akan dibuat kepadanya melalui Presiden MISC Datuk T Mohan, dalam masa terdekat, yang antara lain membabitkan usaha membangunkan atlet berteraskan acara sukan yang sinonim dengan kaum tersebut.
Beliau berkata kebelakangan ini berlaku penurunan penglibatan masyarakat India dalam acara sukan yang secara tradisi sering diwakili kaum itu pada peringkat tertinggi seperti olahraga, karate dan hoki.
“Kita akan mendengar pembentangan daripada MISC dan jika semuanya berjalan lancar, saya akan minta Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama dengan MISC untuk memastikan program pembangunan sukan peringkat akar umbi masyarakat India dapat diperhebatkan.
“Saya harap dengan cara ini kita dapat mencari lebih ramai bakat baharu terutamanya dalam sukan yang secara tradisinya diwakili ramai atlet kaum India yang terbukti cemerlang dalam acara tersebut sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas perasmian Karnival Sukan Antara Universiti di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Perasmian karnival sukan anjuran Putera MIC yang berlangsung tiga hari bermula semalam itu disempurnakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga Presiden MIC.
Kira-kira 1,000 mahasiswa dari 30 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta mengambil bahagian dalam edisi kedua temasya yang mempertandingkan dua jenis sukan iaitu bola sepak dan badminton.
Khairy berkata langkah kerajaan menggemilangkan semula penglibatan atlet kaum India turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan yang membenarkan sekolah jenis kebangsaan Tamil digunakan sebagai pusat latihan bagi perkembangan bakat golongan tersebut.
Dalam pada itu, Subramaniam berkata penstrukturan semula MISC yang diberi peranan memayungi semua badan sukan masyarakat India akan memastikan perancangan dan program pembangunan sukan kaum itu dapat diselaras serta dilaksanakan dengan lebih tersusun.
Beliau berkata sebelum ini pembangunan sukan kalangan masyarakat India tidak begitu teratur serta tiada perancangan tertentu untuk diselarikan dengan perkembangan arena sukan dan kemajuan negara.
“Ekosistem atau minat terhadap sukan dalam komuniti India masih seperti dahulu, cuma perlu dibangunkan dengan holistik agar usaha yang dilakukan selaras dengan perancangan agenda sukan negara,” katanya. – BERNAMA