SEORANG wanita yang merupakan ibu kepada dua anak kini semakin tular seluruh dunia apabila gambarnya tertidur ketika memegang mainan lego anaknya membuatkan ramai berasa simpati.
Wanita itu dikenali sebagai Laura Corrigan, 36, telah disahkan menghidap penyakit kanser. Gambar tersebut telah diambil oleh anak lelakinya, Max yang berusia enam tahun ketika dia tertidur selepas menjalani rawatan kanser.
“Anak saya mengambil gambar itu. Masa tu saya betul-betul keletihan, ketika saya menjalani radioterapi dan kemoterapi,” katanya dipetik daripada portal Mirror Online.
Corrigan berasal dari Durham, Amerika Syarikat telah disahkan menghidap kanser usus pada Mac tahun lalu iaitu sembilan bulan selepas dia melahirkan anak bongsnya, Finn yang kini sudah berusia 19 bulan.
Sebelum itu, dia telah mengalami masalah iaitu najisnya mula berdarah serta kerap sakit perut dan selalu ke tandas setiap masa.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan doktor memaklumkan bahawa penyakit itu jarang sama sekali akan terjadi kepada individu pada usia sepertinya.
Setelah hampir setahun menjalani rawatan diagnosis, Corrigan dalam masa yang sama turut menjalani rawatan kemoterapi sebagai usaha untuk mengecutkan tumor utamanya dan yang berada di paru-parunya.
Hidupnya begitu mencabar apabila dia terpaksa membesarkan dua anaknya tanpa suami disisi dalam keadananya yang tidak sihat.
“Anak bongsu saya bangun kira-kira pukul 5 pagi, ia meletihkan. Saya kadang-kadang tertidur di sofa,” katanya lagi.
Media sosial merupakan satu medium yang mana dia sering berkongsi tentang perasaaannya kerana kajian telah mendapati bahawa seramai puluhan ribu wanita yang disahkan menghidap kanser akan berjaya meningkatkan keyakinan diri mereka melalui platform tersebut.
Penyelidikan oleh Macmillan Cancer Support itu menunjukkan lebih daripada 370,000 wanita yang berjuang atau pulih dari penyakit itu selepas beralih kepada media sosial.
Dianggarkan lebih daripada 90,000 wanita Inggeris menggunakan laman seperti Facebook, Twitter dan Instagram semasa menghidap kanser untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.
Lebih dari satu pertiga berkata mereka seperti ‘boleh menjadi diri sendiri’ dalam talian, menurut penyelidikan itu, yang dikeluarkan sebelum Hari Kanser Sedunia pada Ahad.
Dengan perkongsiannya itu, dia dapat mengenali ramai lagi pesakit yang senasib dengannya.
Instagram miliknya juga digunakan untuk dia menyiarkan gambar aktiviti hariannya bersama anak-anak ataupun rawatan yang dijalankan serta berkongsi tentang penulisannya.
“Saya ada Instagram dan blog yang saya tulis bila saya mampu dan dapat berhubung dengan ramai orang, juga dalam kumpulan sokongan Facebook.
“Ia membantu saya, menulis pandangan dan meluahkan perasaan serta berhubung dengan orang lain.
“Membiarkan orang lain tahu bahawa ada maklumat dan sokongan di luar sana sangat penting kerana kanser membuatkan seseorang itu rasa terasing.
“Anda sering dikelilingi oleh orang tetapi tidak ada yang benar-benar memahami kecuali mereka mengalaminya,” tambahnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH
*Video sekadar hiasan…