Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

8 Bayi Baru Lahir...

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya lapan bayi baharu lahir meninggal dunia di sebuah hospital awam...

Tikam Mata Lelaki Dengan...

SEORANG pelajar wanita yang menikam seorang lelaki dengan kasut tumit tinggi di bahagian...

Alec Baldwin Didakwa Tumbuk...

NEW YORK - Pelakon Hollywood, Alec Baldwin diberkas dan didakwa menyerang seorang lelaki...

Video: Wanita Mencuri Di...

SATU video berdurasi lebih dua minit memaparkan seorang wanita berkaca mata dan berbaju...

Osman: Saksikan Kejatuhan Presiden Lon Nol

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

PEPERANGAN dan kesengsaraan adalah umpama aur dengan tebing – saling berkait rapat. Mereka yang pernah melaui zaman perang tidak mungkin dapat meluputkan peristiwa ngeri itu dari ingatan masing-masing.

Bagi Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Wilayah Persekutuan, Leftenan Kolonel (B) Datuk Dr. Osman Kasap, 67, peperangan bukan sekadar pertumpahan darah, tetap lebih daripada itu. Ia adalah tragedi kemanusiaan.

Ini kerana beliau melihat sendiri penderitaan yang terpaksa ditempuhi oleh rakyat Kemboja dalam peperangan saudara di negara itu membabitkan rejim Khmer Rouge dengan kerajaan pimpinan Presiden Lon Nol.

Walaupun tidak menyaksikan kekejaman Khmer Rouge menyeksa dan membunuh hampir 1.7 juta rakyat negara itu selepas berkuasa pada tahun 1975, namun beliau sempat melihat pertumpahan darah yang berlaku menjelang Pol Pot berkuasa.

Malah selama enam bulan bertugas sebagai Penolong Penasihat Pertahanan di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, banyak peristiwa tragis yang disaksikan beliau di saat pertempuran antara kedua-dua belah pihak menghampiri kemuncaknya.

Turut bersama beliau bertugas di pejabat tersebut ialah Charge d’Affair, Ismail Ambia; Penasihat Pertahanan Kolonel Baljit Singh dan Setiausaha II, Osman Razak dari Jabatan Perdana Menteri.

“Banyak penderitaan rakyat yang saya saksikan. Baik di hospital, di tepi jalan atau di mana-mana sahaja yang saya lalui.

“Begitu juga pelarian perang, yang hidup dalam keadaan amat daif,’’ katanya sambil memberitahu ketika beliau tiba di Phnom Penh pada tahun 1974, bandar itu telah pun diserang oleh gerila Khmer Rouge.

Menurutnya, kadar kematian dan kecederaan sewaktu konflik itu juga adalah amat tinggi, apatah lagi rejim Khmer Rouge yang diketuai oleh Pol Pot dan Khieu Samphan sudah hampir berjaya menumbangkan Lon Nol.

Serangan Roket

Keadaan diburukkan lagi dengan serangan roket yang dilancarkan setiap hari oleh gerila ke atas bandar raya tersebut sehingga menyebabkan banyak nyawa awam terkorban di samping kerosakan harta benda yang dahsyat.

“Serangan roket ini tidak menentu dan suatu hari, ia meletup betul-betul di tepi pejabat kedutaan. Nasib baik hanya tingkap sahaja yang pecah dan tidak ada antara kami yang cedera,’’ katanya.

Biarpun begitu, serangan secara berterusan itu tetap memberi kesan psikologi yang mendalam kepada mereka berempat. Malah mereka sentiasa dihantui kebimbangan setiap kali berada di luar pejabat.

“Saya juga kerap dipanggil ke rumah Baljit ketika serangan berlaku untuk menyelamatkannya dari terkena serangan roket,’’ katanya.

Keadaan tersebut berlaku kerana rumah ketuanya itu terletak berhampiran Istana Presiden yang menjadi sasaran utama gerila Khmer Rouge. Disebabkan keadaan semakin meruncing, seminggu sebelum kerajaan Lon Nol tumbang, Osman dan tiga rakanya telah diarah pulang ke tanah air.

“Ketika itu keadaan memang hura-hara betul. Apa yang kami tahu pesawat Air Cambodge yang kami naiki merupakan pesawat terakhir yang berjaya keluar dari Phnom Phen,’’ ujar anak kelahiran Tanjung Kerayong, Mentakab, Pahang ini.

Menurut Osman, untuk menaiki pesawat itu bukanlah sesuatu yang mudah. Untuk tiba ke lapangan terbang pun mereka perlu bersabung nyawa meredah hujan peluru dan tembakan roket.

“Apabila tiba di lapangan terbang kami lihat enjin pesawat telah pun dihidupkan dan pesawat dikelilingi dengan guni-guni pasir bagi mengelakkan ia terkena tembakan.


Ketika itu keadaan memang hura-hara betul. Apa yang kami tahu pesawat Air Cambodge yang kami naiki merupakan pesawat terakhir yang berjaya keluar dari Phnom Phen.

“Sebaik kami naik, pesawat terus berlepas ke Singapura tanpa mahu menunggu sesiapa lagi,’’ katanya.

Dari Singapura mereka kemudiannya menaiki pesawat lain ke Kuala Lumpur. Di ibu negara meraka mendapat tahu, bangunan kedutaan di Phnom Penh telah digeledah serta dimusnahkan oleh gerila khmer Rouge dan rakyat Kemboja yang merusuh sebaik sahaja Lon Nol berjaya digulingkan.

“Biarpun begitu, banyak yang dapat saya pelajari daripada konflik tersebut dan ini mematangkan saya tentang erti peperangan dan tanggungjawab sebenar sebagai pegawai tentera,’’ katanya.

Ujar Osman, daripada pemerhatiannya, perang saudara itu telah memakan korban yang banyak kerana gerila dan tentera kerajaan bertempur secara membabi buta.

“Pernah sekali, saya bertanya dengan anggota artileri tentera yang sedang melepaskan tembakan meriam 105 mm di mana kedudukan gerila? Mereka hanya mengagak sahaja tanpa mengetahui lokasi yang tepat. Lebih mengejutkan yang mengendalikan meriam itu kebanyakan remaja berusia 15 dan 16 tahun dan tidak mendapat latihan yang secukupnya,’’ katanya.

Adakalanya beliau merasa ‘kelakar’ dengan taktik perang yang digunakan oleh tentera kerajaan yang agak ketinggalan zaman.

“Saya lihat ramai tentera membawa ahli keluarga mereka ke barisan hadapan medan perang. Apabila gerila Khmer Rouge tidak melalui kubu pertahanan mereka dan bergerak melencong sedikit, mereka biarkan sahaja asalkan anak dan isteri mereka selamat.

“Sebab itulah gerila Khmer Rouge boleh memasuki dan menawan Phnom Phen dengan mudah,’’ ujar beliau.

Keadaan berlaku kerana kerajaan memerintah tidak menyediakan langsung perumahan untuk keluarga tentera di samping terlalu mengabaikan kebajikan anggota bawahan.

“Disebabkan itu moral tentera begitu rendah serta tidak berdispilin. Selain itu, panglima tentera juga sering membohongi Lon Nol,’’ kata Osman yang menyertai tentera sebagai rekrut Rejimen Persekutuan pada tahun 1958.

Pembohongan itu disaksikan sendiri oleh Osman ketika menziarahi Lon Nol yang sedang sakit di istananya pada suatu hari.

“Saya lihat apabila Presiden bertanya kepada lapan orang Brigedier Jeneral yang berada di kelilingnya tentang keadaan perang, semua panglima tersebut kata keadaan terkawal.

“Sedangkan situasi ketika itu amat genting kerana gerila yang begitu bersemangat sudah mula memasuki Phnom Penh,’’ katanya sambil memberitahu beliau mudah mendapat maklumat terkini tentang situasi di medan perang kerana berkawan dengan ramai wartawan asing yang mebuat liputan perang di Kemboja.

Walaupun begitu, bekas Pegawai Turus Jabatanarah Polis Tentera itu tetap bersyukur kerana senario seumpama itu tidak berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori