KUALA LUMPUR – Unjuran bagi majikan dan bakat adalah lebih optimistik pada tahun ini, kata rakan kongsi penyumberan bakat terkemuka Asia, JobStreet.com, dalam Laporan Prospek Pekerjaan 2018.
Dalam kenyataan hari ini, JobStreet.com berkata, menurut laporan itu, peluang pekerjaan dijangka lebih kukuh daripada 2017, dengan 30 peratus majikan Malaysia menunjukkan peningkatan dalam pengambilan pekerja baharu, kenaikan 12 peratus berbanding tahun.
15 peratus daripada majikan yang dikaji juga akan mengekalkan kadar pengambilan pekerja serta penurunan ketara bagi pembekuan pengambilan pekerja sebanyak lima peratus daripada tahun lepas, mengesahkan momentum peningkatan aktiviti pengambilan pekerja, menurutnya.
JobStreet berkata, keyakinan yang semakin meningkat ini berkait dengan pertambahan iklan pekerjaan sebanyak sembilan peratus berbanding tahun, dengan migrasi dalam talian bagi iklan pekerjaan bukan eksekutif menyumbang tiga peratus kepada pertumbuhan keseluruhan.
Pengurus Negara JobStreet.com Malaysia, Chook Yuh Yng berkata pihaknya menyaksikan unjuran ke atas majikan dan calon pekerja adalah lebih optimistik bagi pasaran pekerjaan tahun ini.
“Sentimen ini dipacu terutamanya oleh pertambahan syarikat pemula niaga, perluasan perniagaan tempatan dan kemasukan firma asing yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan keperluan terhadap pelbagai kemahiran.
“Oleh itu, kita boleh menjangkakan aktiviti mencari kerja dan pengambilan pekerja akan meningkat tahun ini,” katanya.
Chook berkata, seiring peningkatan aktiviti pengambilan pekerja, majikan perlu meneliti keperluan yang ada bagi pekerja sebagai faktor tarikan untuk kompetitif dalam menarik dan pengekalan bakat.
“Pada dasarnya, penting untuk majikan memastikan keseimbangan antara manfaat yang diingini pekerja dan manfaat yang ditawarkan supaya mampu mengekalkan dan menarik bakat,” katanya.
JobStreet.com berkata, laporan tersebut turut berkongsi beberapa pandangan berguna mengenai strategi kompetitif bagi pengambilan pekerja seperti pampasan dan faedah pekerja.
Menurut laporan itu, lima faedah utama yang diinginkan pekerja ialah insurans kesihatan/perubatan, elaun pengangkutan, perlindungan perubatan untuk keluarga/tanggungan, dana pencen/persaraan dan tempoh bekerja yang fleksibel. – BERNAMA