KUALA LUMPUR – Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dari 4 hingga 15 April depan, bakal menjadi peluang terbaik kepada skuad hoki wanita negara beraksi menentang pasukan handalan dunia.
Ketua jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata bukan mudah untuk Malaysia menghuni ranking ke-22, dapat bersaing dengan pasukan dalam kelompok 10 terbaik dunia yang mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas Piala Dunia.
āIni peluang terbaik bagi kita bermain dengan pasukan berada di tahap berlainan daripada kita, terutamanya pasukan bukan Asia seperti dari Eropah yang tidak biasa bermain dengan kita. Nak main aksi persahabatan pun susah nak dapat.
āKita berada di tempat kelapan daripada 10 pasukan bertanding di Sukan Komanwel. Enam daripadanya adalah pasukan yang beraksi di Piala Dunia, jadi bukan mudah untuk kita menewaskan mereka
āKalau dapat mempertahankan tempat ketujuh pun sudah cukup baik,ā katanya kepada pemberita selepas lawatan Chef-de-Mission (CDM) Sukan Komanwel negara, Huang Ying How ke sesi latihan skuad hoki wanita, tinju dan olahraga para kebangsaan di sini, hari ini.
Skuad āMalaysian Tigressā diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan nombor dua dunia England, India (10), Afrika Selatan (14) dan Wales (26), manakala Kumpulan B dihuni pasukan nombor empat dunia New Zealand, juara bertahan dan nombor lima dunia Australia, Scotland (18), Kanada (21) dan Ghana (30).
Dharma Raj berkata pertemuan menentang Wales menjadi aksi āwajib menangā bagi skuad āMalaysian Tigressā, selain melihat kemungkinan untuk mencipta kejutan ke atas India yang menang tipis 0-2 ke atas pasukan negara ketika Piala Asia di Jepun, Oktober lalu.
āKita kena tewaskan Wales untuk elak kemungkinan bermain pada perlawanan penentuan tempat ke-9/10 kerana dalam hoki, kalau tersilap langkah, macam-macam boleh jadi. England pasukan yang terlalu kuat bagi kita kerana mereka merupakan juara Sukan Olimpik (sebagai pasukan Great Britain).
āKita pernah menewaskan Afrika Selatan lebih 10 tahun dulu, tetapi mereka bukan calang-calang pasukan. Kalau kita berjaya menewaskan mereka, memang kejutan besar,ā katanya.
Sebagai persiapan ke Sukan Komanwel, skuad wanita negara akan mengadakan lima aksi persahabatan menentang pasukan remaja Jepun bermula 10 Mac di sini, selepas Liga Hoki Wanita tamat pada 4 Mac.
āSelepas itu, kita akan berlepas ke Gold Coast pada 26 Mac bersama-sama dengan skuad lelaki. Pergi lebih awal untuk bermain dua aksi persahabatan menentang pasukan New South Wales dan sedang cuba untuk mendapatkan satu aksi bersama pasukan daripada Kumpulan B,ā katanya.
Beliau berkata temasya sukan itu menjadi medan penting untuk mempersiapkan pasukannya mencapai sasaran mara ke separuh akhir Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada Ogos nanti, selain kejohanan Trofi Juara-Juara Asia d Korea Selatan dari 13 hingga 20 Mei. – BERNAMA