KUALA LUMPUR – Seorang pembantu kedai makan warga Myanmar dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana mencederakan seorang penganggur dengan seketul bata sehingga pergelangan tangan kanan mangsa cedera parah.
Hakim Datin M.Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap Kap Huang Tuang, 19, selepas didapati bersalah dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Muhammad Najibbuddin Nazrin, 19, menggunakan seketul batu-bata yang mana jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin menyebabkan kematian.
Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 Mac 2017.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di hadapan kedai Amcwell Hardware Trading, Jalan 3/93, Taman Miharja, Cheras di sini pada 1.05 pagi, 12 Mac 2017 mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, peguam Chua Chung Ren yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan ia adalah kesalahan pertama anak guamnya manakala Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni memohon hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
Sebanyak 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes berkenaan. -BERNAMA