ALOR SETAR – Pemuda PAS Pusat hari ini menyatakan sokongannya terhadap usaha kerajaan mengadakan undang-undang bagi menyekat penyebaran berita palsu.
Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata undang-undang sedemikian bukan sahaja dapat mengekang berita palsu tetapi turut membolehkan penyebarnya didakwa di mahkamah.
“Pemuda PAS mengalu-alukan cadangan ini malah kami juga bersedia memberikan cadangan bagi penambahbaikan undang-undang berkenaan jika dibenarkan,” katanya pada Majlis Minum Petang Bersama Pimpinan PAS di Taman Budiman di sini, hari ini.
Pada 30 Januari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu di negara ini.
Azalina berkata kerajaan berharap undang-undang baharu itu boleh dibawa ke Parlimen pada sesi yang akan datang.
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata pada masa sama, parti itu akan melihat sejauh mana pelaksanaan undang-undang tersebut mampu mengekang penyebaran berita palsu secara komprehensif.
Sementara itu, beliau berkata penyusunan dan pengagihan kerusi bersama parti dalam Gagasan Sejahtera telah hampir selesai dan akan dimuktamadkan sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ini.
“Alhamdulillah, proses pengagihan ini disambut dengan baik oleh semua pihak dalam Gagasan Sejahtera ini dan ia akan selesai untuk dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.
Selain PAS, gagasan itu turut diserati Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) dan Parti Cinta Malaysia (PCM). – BERNAMA