PUTRAJAYA – Penerbangan AirAsia X dari Tokyo ke Kuala Lumpur dilencongkan ke Okinawa, Jepun susulan isu teknikal.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, AirAsia X berkata Penerbangan D7 523 yang berlepas dari Tokyo pada Ahad (25 Feb) selamat mendarat di Okinawa pada 2.59 pagi waktu tempatan pada 26 Februari dengan 369 penumpang dan 10 kru.
Syarikat penerbangan itu berkata penerbangan menyelamat akan berlepas dari Kuala Lumpur dan semua penumpang akan dipindahkan ke Penerbangan D7 689.
Katanya penerbangan itu dijadualkan berlepas dari Okinawa pada 9.30 malam ini dan tiba di Kuala Lumpur pada 2 pagi esok.
“Semua bantuan yang perlu telah disalurkan kepada penumpang terjejas dan mereka akan dimaklumkan tentang masa berlepas baharu,” kata syarikat itu. – BERNAMA