KUCHING – Perairan negeri Sabah kini selamat untuk dilalui berikutan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan agensi lain termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sering melakukan rondaan bagi memastikan ia bebas daripada pencerobohan musuh.
Pegawai Memerintah Gagah Samudera, Komander Mahamad Nazir Darus berkata Kapal Latihan Gagah Samudera, platform latihan terbaharu dalam armada TLDM, turut membuat tugasan rondaan di perairan negeri ini di samping fungsinya sebagai sebuah kapal latihan.
Bercakap kepada pemberita sempena hari terbuka kapal berkenaan di Pelabuhan Pending di sini hari ini, beliau berkata TLDM kini mempunyai kira-kira 18,000 anggota untuk ditugaskan meronda perairan negara.
Mahamad Nazir berkata TLDM dijangka mendapat lima jenis kapal yang berkemampuan menjaga perairan negara memandangkan kapal-kapal sedia ada sudah terlalu tua dan memerlukan kos penyelengaraan yang tinggi.
Mengenai Kapal Latihan Gagah Samudera yang tiba di sini semalam, beliau berkata kehadiran kapal berteknologi tinggi itu pada 1 Mac tahun lepas membolehkan pelbagai latihan seperti pengendalian kapal, radar dan latihan menembak dilaksanakan lebih efisien dengan teknologi moden.
“Kapal ini mampu menempatkan 45 kru serta menampung 60 pelatih dalam satu-satu pelayaran,” katanya dan menambah kapal berkenaan akan belayar ke destinasi terakhirnya di Bintulu selepas selesai hari terbuka kapal itu esok.
Mahamad Nazir berkata pihaknya telah melatih kira-kira 300 anggota sejak kapal itu beroperasi tahun lepas dan telah belayar kira-kira 8,000 batu nautika di dalam dan luar negara.
Kapal Latihan Gagah Samudera dilengkapi sistem kombat (Electro-Optic Fire Control System), radar (Kelvin Hughes Sharp Eye), peralatan navigasi dan komunikasi serta senjata jarak dekat yang tercanggih dan mampu beroperasi sejauh 2,500 batu nautika tanpa henti dengan kelajuan optimum 12 knot atau selama 14 hari di laut. – BERNAMA