KUALA LUMPUR – Afican-Asian Rural Development Organisation (AARDO) harus keluar dari zon selesanya dengan memperluaskan peranan dan fungsi organisasi itu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau berkata dalam ia memberi tumpuan terhadap kepentingan program berkaitan pembangunan manusia, AARDO harus turut menimbangkan untuk mengusahakan secara aktif program yang menjana pendapatan.
Sebagai contoh, katanya, organisasi itu patut menyediakan latihan kepada usahawan luar bandar dan mempermudahkan mereka dalam memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing.
“Di Malaysia sebagai contoh, di bawah kementerian saya, kami mempunyai Lembaga Pemasara n Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membantu petani menjual terus produk pertanian mereka di pasar-pasar tani khas.
“Pada masa yang sama kita juga patut menggalakkan lebih banyak aliran dagangan dalam rangkaian AARDO, dan ini akan membuka lebih banyak peluang pasaran untuk berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan pembukaan sesi ke-69 Mesyuarat Eksekutif AARDO di sini hari ini.
Ditubuhkan pada 1962, AARDO bertindak sebagai platform untuk perbincangan bersama isu-isu berkaitan pembangunan luar bandar dan pertanian di negara-negara Afrika dan Asia.
Bermula dengan hanya lima negara anggota pengasas iaitu Mesir, India, Jepun, Libya dan Malaysia, organisasi ini telah membesar kepada 33 negara anggota.
Ahmad Jazlan berkata selain menjalin penglibatan dengan pertubuhan antarabangsa , AARDO harus turut mengadakan perkongsian strategik dengan sektor swasta.
Ini katanya, akan membuka ruang kepada organisasi itu untuk meneroka peluang yang belum diraih, sambil memperkukuh hubungan sedia ada.
“Buat permulaan, kita boleh menimbangkan untuk menjemput sektor swasta sebagai penceramah bagi program-program latihan dan seminar serta menjadi penganjur bersama program AARDO.
Sementara itu, Setiausaha Agung AARDO Wassfi Hassan El-Sreihin dari Jordan berkata organisasi itu perlu menambah dan mempelbagai aktivitinya, kerana banyak lagi ruang untuk memperkukuh pertubuhan itu.
Katanya ini boleh dilakukan dengan lebih banyak kerjasama dengan agensi penyumbang dan pemberi dana pembangunan untuk menjalankan projek usaha sama. – BERNAMA