PERSEMBAHAN separuh masa kejohanan bola sepak Amerika Super Bowl amat diambil berat oleh kebanyakan peminat sukan serta muzik di Amerika Syarikat.
Jadi, tidak hairanlah persembahan hebat oleh penyanyi popular Justin Timberlake ketika Super Bowl 2018 tempoh hari mendapat reaksi pelbagai dari kalangan penonton sendiri.
Pada persembahannya itu, Justin mempersembahkan lagu lama dan baru serta turut menyanyikan lagu mendiang Prince, I Would Die For You, sebagai penghormatan kepada penyanyi legenda itu.
Namun, penghormatan itu tidak mendapat restu peminat Prince apabila Justin dikecam sejak beberapa hari sebelum persembahannya hanya kerana ingin menggunakan hologram Prince semasa menyanyikan lagu tersebut.
Selepas dikecam hebat, Justin tidak ikut perancangan awalnya tetapi memaparkan video Prince menerusi skrin besar seolah-olah Prince ada di sana dan turut menyalakan kawasan luar stadium dengan warna ungu kegemaran mendiang.
Prince sendiri sebelum ini pernah memberikan pendapat bahawa penggunaan hologram untuk mewakili artis yang sudah meninggal dunia adalah satu ‘imaginasi’ jahat.
Walaupun gagal meneruskan konsep awalnya, Justin masih tidak dapat memuaskan hati ramai peminat Prince dan mendapat kecaman di media sosial Twitter sejurus persembahan.
Bagi segelintir peminat Prince, persembahan penghormatan Justin itu agak ‘pelik’ memandangkan Justin dan Prince tiada hubungan baik waima Justin pernah berselisih faham dengan penyanyi legenda itu ketika hayatnya.
Sewaktu Justin mengeluarkan lagu SexyBack, Prince dikatakan mempersenda karya itu sebelum Justin membalas dengan mempersenda ketinggian Prince ketika menerima anugerah bagi lagu tersebut lebih sedekad lalu.
Menerusi laman sosial Twitter, terlalu ramai peminat Prince memberikan pendapat bahawa mendiang pasti tidak mengambil ‘kisah’ penghormatan yang diberikan oleh Justin itu sekiranya masih hidup.
The Prince tribute would’ve been cool… except Prince specifically said he didn’t want that, right? Even in death, Prince continues to be misunderstood.
— Adam Best (@adamcbest) February 5, 2018
“Persembahan itu menarik, tetapi Prince sendiri pernah mengatakan dia tidak mahu penghormatan itu kan? Walaupun setelah tiada, Prince masih disalah erti,” tulis Adam Best.
Terdahulu, rakan baik Prince, Shiela E. mengakui ada bercakap dengan Justin mengenai rancangan awal untuk guna hologram dan selepas berbincang Justin berseruju mengubah konsep persembahan. – MYNEWSHUB.CC/EZ