KUCHING – Polis Sarawak menerima 69 buah motosikal awal tahun ini untuk diagih ke kawasan-kawasan pedalaman Sarawak bagi kegunaan pegawai serta anggota yang bertugas, dalam usaha memantapkan lagi perkhidmatan serta operasi rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) khususnya semasa pilihan raya umum ke-14.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal berkata pada masa sama di peringkat awal ini, polis Sarawak juga menerima 11 kenderaan MPV untuk kegunaan ketua-ketua balai di setiap daerah, dan unit persenjataan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Sarawak.
Menurutnya dari segi keanggotaan pula, pihaknya sudah bersedia menggerakkan seramai 7,170 pegawai dan anggota polis untuk mengawal selia 1,832 pusat mengundi, 2,968 saluran dan 870 Barong Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di 31 kawasan parlimen di Sarawak pada PRU-14 ini.
Terdahulu dalam ucapannya di Majlis Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di IPK Sarawak di sini, Amer memuji tindakan pantas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 yang berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah di sempadan Malaysia-Indonesia melalui Pos Telok Melano minggu lepas.
“Kejayaan ini membawa kepada penangkapan lima orang warga Indonesia dan rampasan dadah yang dianggar bernilai RM1.4 juta serta tiga motosikal milik suspek,” katanya. – BERNAMA