BANGKOK – Seorang wanita Malaysia yang diperdaya oleh sindiket “penipuan pusat panggilan” diketuai gengster Taiwan dihantar pulang hari ini, kata Timbalan Ketua Biro Polis Pelancong, Mejar Jeneral Surachet Hakpan.
Beliau berkata mangsa berusia 21 tahun itu itu diselamatkan semasa sepasukan polis melakukan serbuan di sebuah kondominium di kawasan Bangna pada 27 Oktober tahun lepas.
“Wanita itu diperdayakan oleh sindiket penipuan “Macau Scam” untuk bekerja dengan mereka,” katanya kepada media di sini, hari ini dan menurutnya wakil Kedutaan Malaysia di Bangkok, Supt. Ridzuan Abdul Aziz turut hadir menyaksikan penghantaran pulang wanita itu.
Wanita itu akan menaiki penerbangan ke Malaysia hari ini selepas semua urusan membabitkan dokumen yang perlu selesai, katanya, yang mengetuai pusat operasi yang ditubuhkan Polis Diraja Thailand (RTP) untuk membanteras ‘penipuan pusat panggilan’ di negara ini.
Bulan lepas, tiga rakyat Malaysia terdiri dua lelaki dan seorang wanita yang telah dipukul dan dikurung oleh sindiket didalangi warga Taiwan yang sama turut dihantar pulang dengan penerbangan oleh polis Thailand.
Tiga mangsa itu sebelumnya ditempatkan di Pusat Perlindungan Saksi di Bangkok sepanjang tempoh ditahan reman telah menjadi saksi utama polis Thailand dalam kes itu.
Dalam serbuan pada Oktober susulan maklumat disalurkan pihak Kedutaan Malaysia di Bangkok, dua lagi lelaki rakyat Malaysia ditahan bersama-sama ketua sindiket warga Taiwan berumur 29 tahun itu.
Seorang lagi lelaki warga Malaysia berumur 19 tahun, disyaki berperanan sebagai pihak yang merekrut pekerja bagi sindiket itu ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada hari berikutnya.
Surachet turut merakamkan penghargaan polis Thailand kepada rakan sejawat di Malaysia dalam melakukan serbuan terhadap sindiket ‘penipuan pusat panggilan’ diketuai warga Taiwan dan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini, dengan dua rakyat Thailand diselamatkan.
Dua lelaki rakyat Thailand berumur 23 dan 36 tahun itu turut dipukul dan dikurung oleh sindiket berkenaan, katanya dan menurutnya dua mangsa itu kini dalam jagaan pihak berkuasa Malaysia di Kuala Lumpur.
“Serbuan pada Januari menyaksikan tiga rakyat Taiwan dan dua rakyat Malaysia ditahan,” menurut Surachet. – BERNAMA