AL KISAH ramai terperanjat setelah baca pendedahan Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman menerusi sebuah akhbar kelmarin.
Lebih sensasi ia disiarkan media prokerajaan tetapi dieksploitasi secara luas oleh semua portal propembangkang konon sebagai bukti kegagalan pihak kerajaan dalam bela nasib pengedar Proton khasnya usahawan Bumiputera.
Zainuddin dalam wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia mendakwa ada sembilan isu panas melibatkan Proton yang diluahkan ramai ahli Pekema ketika mesyuarat agung tahunan persatuan itu pada 27 Januari lalu.
Sekali imbas, hujah dibangkitkan nampak seperti ada asas dan bagi yang tidak arif selok-belok bisnes automotif, tentu menyalahkan kerajaan konon ‘gadai’ Proton kepada syarikat Geely dari China dan menekan peniaga Melayu.
Namun, jika diperhalusi balik temuramah beliau, ia seolah-olah ada agenda tersirat waima Zainuddin cuba ‘berlapik’ apabila masih memuji usaha kerajaan malah tetap yakin dengan pelan pemulihan Proton untuk misi bangkit semula.
Ironi, ketika ada pihak tertentu ‘seronok’ putar belit kenyataan berani bos Pekema itu untuk dijadikan bahan politik, di sebaliknya banyak fakta tidak didedahkan bahkan ada meragui imej persatuan tersebut sendiri sejak sekian lama.
Tidak kurang netizen pertikai Pekema sebagai elit Melayu tidak sedar diri selama ini ‘berlagak’ dengan keistimewaan permit import kenderaan asing semasa di bawah kepimpinan terdahulu yang banyak bermain politik dalam Proton!
Isu itu menyebabkan syarikat automotif tersebut gagal bersaing di pasaran terbuka apabila ‘diikat’ kepentingan oleh kroni tertentu demi meraih keuntungan segera dengan strategi model perniagaan lapuk sekadar menjadi ejen 1S.
Umum mengetahui 70 peratus pengedar Proton di seluruh negara ketika ini hanya ada kemudahan 1S yang merujuk kepada sales atau urusan jualan semata-mata manakala bakinya ialah 3S/4S (jualan, servis, alat ganti, pengecatan).
Bagaimanapun industri perniagaan automotif global menyaksikan semua pengeluar di seluruh dunia menaik taraf operasi 1S menjadi paling kurang pun premis 3S sekali gus pemangkin jualan kenderaan laris secara signifikan.
Dalam hal ini, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) turut tidak boleh ketinggalan dan ada rancangan untuk ubah imej pengedarnya dengan menaik taraf outlet di seluruh negara dalam tempoh 2018 sehingga 2020.
Menerusi reaksi balas terhadap kenyataan Zainuddin itu, PONSB berkata, sasaran bermula tahun ini adalah untuk menambah outlet 3S demi meningkatkan pengalaman pelanggan dengan pelancaran beberapa model baharu.
“Kami tahu wang yang banyak perlu dibelanjakan oleh pengedar dalam eksesais ini. Oleh itu kami perkenal skim khas bagi bantu pengedar dalam usaha menaik taraf kepada premis baharu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pengeluar kereta nasional tersebut malah memberi jaminan bahawa pengedar terlibat akan menikmati margin lebih tinggi ke atas kereta yang dijual sehingga tiga tahun berbanding sekarang jika masih terus di takuk lama sebagai 1S.
Untuk rekod, pada masa lalu, pengedar Proton hanya menikmati margin empat peratus berdasarkan volum bulanan sebanyak 40 unit yang dipersetujui dengan pihak syarikat itu untuk melayakkan mereka mendapat insentif jualan.
Justeru PONSB telah semak semula skim itu dengan menurunkan kadar itu untuk galak pertumbuhan perniagaan keseluruhan pengedar. Skim baharu itu selaras dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh pengedar seluruh dunia.
Di samping itu, skim insentif suku tahunan disediakan sepanjang tahun, dengan pengedar memperoleh pendapatan tambahan apabila melepasi sasaran jualan mereka, serta sokongan insentif negeri untuk aktiviti pengedar.
Mengulas dakwaan Pekema yang mendakwa pengedar Bumiputera konon menerima tekanan, PONSB berkata, ia mengakui cabaran sukar yang dihadapi mereka sejak bertahun-tahun sebelum ini menerusi model perniagaan lama.
Sejak tahun 2000, kemerosotan penguasaan pasaran dan jumlah jualan telah mempengaruhi keupayaan syarikat untuk biayai aktiviti penyelidikan dan pembangunan, yang menyebabkan ia ketinggalan berbanding pesaingnya.
Ini juga secara tidak langsung menjejaskan pelaburan dalam membangunkan rangkaian, kakitangan dan keupayaan pengeluaran syarikat tetapi ia dalam usaha untuk menangani penurunan itu, telah mencuba pelbagai pendekatan.
Antaranya perkongsian platform dengan jenama lain untuk membangunkan enjin dan transmisi sendiri sebagai cara pengurangan pergantungan kepada komponen diimport apatah lagi kos untuk lancar model baharu amat besar.
“Walaupun tindakan ini membawa hasil yang positif, ia masih tidak berjaya menangani kemerosotan jualan dan penguasaan pasaran di Malaysia. Maka, keperluan untuk rakan kongsi strategik asing adalah menjadi lebih jelas.
“Proton ingin memulihkan kedudukan sebagai peneraju pasaran automotif Malaysia. Ini juga akan bantu aspirasi kami sendiri untuk mengembangkan jenama itu di dalam dan di luar negara pada masa depan,” kata PONSB.
Syarikat itu turut menyangkal dakwaan Pekema konon pengedar 1S dilarang menjual model premium baharu Proton tidak lama lagi bahkan mereka boleh berbuat demikian dibuat menerusi pengedar 3S/4s yang terletak berhampiran.
Hakikatnya, Pekema sewajarnya berbincang terus dengan pihak PONSB untuk bantu ahli-ahlinya mengubah taraf premis 1S menjadi 3S atau 4S sementelahan ada banyak skim dana disediakan oleh kerajaan sendiri bagi tujuan itu.
Difahamkan tabungan tersebut kini sudah berkumpul lebih RM3 bilion sejak 2010 tetapi tidak ramai memohon kerana kurang publisiti walhal ia diwujudkan untuk menolong pengedar Bumiputera khasnya wakil jualan Proton.
Ibarat jika tidak dipecah ruyung, mana dapat sagunya. Usahawan Bumiputera wajar sahut cabaran PONSB maju ke hadapan sebagai 3S atau 4S yang lebih kompetitif setanding pengedar bukan Bumiputera. – Mynewshub.cc/HAA