KOTA KINABALU – Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan terus berahsia sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
“Tunggulah sehingga hari penamaan calon. Bagaimanapun PBS sedia untuk menghadapi pilihan raya ini,” katanya ketika ditanya pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina PBS di sini hari ini.
Pairin diminta mengulas sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) meskipun pernah mengumumkan persaraannya daripada politik kira-kira dua tahun lepas.
Bagaimanapun, pada Disember tahun lepas, beliau menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkan nasihat parti berhubung sama ada akan mencalonkannya dalam pilihan raya umum akan datang.
Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili juga pada Disember lepas berkata parti itu sering membincangkan tentang pencalonan Pairin dalam PRU14.
Timbalan ketua menteri Sabah berusia 77 tahun itu ketika ini merupakan Anggota Parlimen Keningau dan Anggota Dewan Undangan Negeri Tambunan.
Pairin, yang aktif dalam politik sejak 1975, masih dianggap oleh banyak pihak sebagai tokoh politik yang sangat dihormati di Sabah. – BERNAMA