IPOH – Proses mediasi berjaya menyelesaikan kira-kira 50 peratus kes mahkamah tanpa melalui perbicaraan penuh.
Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif berkata ini membuktikan pusat mediasi satu metodologi yang berkesan dalam usaha menjimatkan masa proses perundangan sekali gus membantu mahkamah mengurangkan kes-kes tertunggak.
Beliau berkata contohnya tahun lalu, Pusat Mediasi Mahkamah Shah Alam berjaya menyelesaikan 45 peratus daripada 282 kes mahkamah tinggi dan 58 peratus daripada 659 kes mahkamah sesyen.
“Saya percaya jika mediasi ini dapat dipraktikkan dengan jayanya, matlamat badan kehakiman untuk menyelesaikan kes mengikut tempoh masa yang ditetapkan dapat dicapai.
“Saya menyeru peguam-peguam supaya menyokong program mediasi ini dengan menasihati anak guam masing-masing memilih proses mediasi ini sebagai cara penyelesaian kes. Tambahan pula, program mediasi mahkamah ini tiada sebarang bayaran,” katanya berucap pada perasmian Pusat Mediasi Mahkamah Ipoh (ICMC), di sini hari ini.
Hadir sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Raus berkata adalah penting bagi semua pengamal undang-undang menghayati dan memahami konsep mediasi dan cara ia dimanfaatkan.
“Jangan sesekali mediasi dijadikan penyumbang kepada kelewatan penyelesaian sesuatu kes. Jangan pula dijadikan mediasi sebagai alasan penangguhan sesuatu kes.
“Misalnya alasan ‘pihak-pihak sedang berunding’ dan kemudian diikuti alasan yang sama iaitu ‘pihak-pihak masih berunding’ dan ‘masa berunding’. Perkara seperti ini tidak wajar berlaku,” katanya.
Beliau turut menegaskan penggunaan mediasi juga mempunyai pelbagai kelebihan dan kebaikan.
“Pihak-pihak yang bertelingkah tidak akan bermusuhan berbanding dengan keputusan dibuat melalui perbicaraan. Dalam mediasi tidak ada pihak menang atau kalah, kedua-dua pihak menang selain menjimatkan masa mahkamah,” katanya.
ICMC merupakan pusat mediasi kelima yang ditubuhkan di negara ini, selepas penubuhan pusat pertama di Kuala Lumpur pada 2011 yang diikuti Johor Bahru, Shah Alam dan Pulau Pinang. – BERNAMA