KUALA NERUS – “Jantung saya berdebar-debar sangat sampai nak gugur rasanya apabila Timbalan Perdana Menteri panggil nama saya atas pentas secara spontan,” kata selebriti yang fasih berbahasa Melayu loghat Terengganu yang lebih dikenali dengan nama ‘Mat Dan’.
Itu reaksi pertama Mat Dan atau nama Islamnya Mohammad Kareef Daniel Abdullah sejurus Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kelulusan permohonannya mendapatkan status penduduk tetap Malaysia ketika merasmikan Ekspo Terengganu 2018 di sini hari ini.
“Saya memang terkejut dan malu sangat sebab semua orang dalam majlis tu tumpu pada saya. Walaupun saya memang terlibat dalam bidang penyiaran, tapi perasaan malu tu tetap ada… perasaan jadi lain macam.
“Memang saya pun tidak menyangka bahawa TPM sendiri yang akan umum perkara tersebut. Paling saya tak sangka beliau akan panggil naik atas pentas dan umum perkara tu… lepas salam tu saya terus lari sebab malu,” katanya pada pemberita sejurus pengumuman berita gembira tersebut.
Mat Dan yang berasal dari Bristol, United Kingdom sudah menetap di Malaysia sejak tahun 2009 hingga sekarang. Beliau mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya yang berasal dari Chendering, Terengganu Mac tahun lalu.
Jejaka yang berusia 28 tahun itu juga menzahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu kerana boleh menerima kehadirannya di negeri yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan warisan budaya yang menarik.
“Saya rasa ia satu impian yang menjadi kenyataan..boleh duduk di sini dan kini harapan saya agar saya boleh membuat sesuatu yang positif untuk Terengganu. Saya mula memohon menjadi rakyat Malaysia selepas sahaja saya kahwin, saya tahu ia tidak mudah tapi bila berita gembira ini datang..saya rasa macam nak cium tangan TPM.
“Buat masa sekarang saya sebagai duta Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu ingin menunjukkan apa yang terbaik tentang Terengganu dan amat berbangga dengan negeri ini. Di mana saja saya pergi, saya akan bercakap, bercerita dan Insya-Allah akan tetap tinggal di Terengganu,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam sidang media berkata kelulusan itu diberikan selepas mengkaji semua aspek yang diperlukan untuk menjadi seorang penduduk tetap negara ini.
“Setelah dikaji didapati Mat Dan mengikut syarat-syarat yang ditentukan meliputi aspek keselamatan, dan sumbangan-sumbangan beliau bukan hanya pada Terengganu tetapi juga sumbangannya kepada Malaysia.
“Mat Dan juga layak diberikan taraf penduduk tetap kerana sumbangannya kepada Malaysia apabila secara aktif mempromosi produk keluaran Terengganu yang secara tidak langsung menarik kemasukan pelancong,” katanya. – BERNAMA