BUKIT MERTAJAM – Tempoh reman warga emas yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera majikannya 11 Feb lepas, dilanjutkan selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah sambung reman tersebut dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam Nor Hapipah Abdullah di sini setelah tempoh reman tujuh hari wanita berusia 60 tahun itu sebelum ini tamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita, yang juga ibu kepada dua beradik yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu, ditahan sejak 12 Feb lalu dan disambung tempoh reman selepas tamat hari ini.
“Hari ini kami rujuk kertas siasatan kes dera pembantu rumah itu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri sebelum ia dibawa ke Pejabat Pendakwa Raya di Putrajaya esok bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Adelina Lisio, 28, yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam pada badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada kira-kira 4.45 petang 11 Feb lepas dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Mangsa ditemui kira-kira 8 malam 10 Feb lepas, selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Lim dan menahan dua beradik lelaki dan perempuan itu sebelum menahan ibu mereka iaitu majikan mangsa bagi membantu siasatan.
Nik Ros Azhan berkata tempoh reman dua beradik lelaki dan perempuan berusia 39 serta 36 tahun itu akan tamat esok dan polis akan mendapatkan perintah sambung reman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.
Beliau berkata seramai 21 individu termasuk saksi, jiran dan doktor yang merawat serta menjalankan bedah siasat ke atas pembantu rumah berkenaan telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai laporan akhbar āThe Jakarta Posā mengenai dakwaan keluarga Adelina bahawa pembantu rumah yang berasal dari Nusa Tenggara, Indonesia itu tidak dibayar gaji selama bekerja dengan majikan berkenaan, Nik Ros Azhan berkata polis akan menyiasat dakwaan itu.
Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan keterangan daripada agen pekerja asing yang membawa masuk pembantu rumah itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan termasuk mengenai penipuan umur serta beberapa dokumen mangsa.
“Polis menjalankan siasatan dari semua aspek termasuk dakwaan mangsa adalah mangsa pemerdagangan manusia dan majikannya tidak membayar gaji. Jika terbukti dakwaan itu kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.
Akhbar The Jakarta Pos melaporkan keluarga wanita itu menuntut pampasan tiga tahun gaji akibat kematian pembantu rumah berkenaan kerana mangsa tidak pernah menerima gaji walaupun sudah bekerja sejak 2015. – BERNAMA