TIDAK semua orang dapat membesar dengan keluarga yang bahagia dan serba sempurna. Setiap keluarga mempunyai cabaran yang harus dihadapi mereka.
Namun, sesetengah orang terpaksa membesar dengan keluarga yang berpecah-belah dan tidak mempunyai nasib yang sama seperti sesetengah orang lain.
Bagi pelakon, Remy Ishak, dia belum bersedia untuk menikmati alam perkahwinan kerana mahu memastikan masa depannya dirancang dengan baik.
Menurut Remy, membesar dalam sebuah keluarga yang berpecah-belah selepas penceraian ibu dan bapanya menjadi faktor dia tidak terburu-buru untuk berkahwin.
Remy atau nama sebenarnya Muhammad Zalimei Ishak, 36, menjelaskan bahawa kewajipan yang dipikul oleh suami adalah sangat berat kerana perlu mementingkan tanggungjawab menjaga keluarga.
“Untuk menjadi seorang suami itu, tanggungjawabnya besar bukan hanya untuk menyatukan silaturahhim. Saya seorang lelaki yang mahu memastikan masa depan berjalan dengan lancar.
“Jadi saya merancang untuk semuanya berjalan dengan baik. Saya dari dulu seorang yang mementingkan tanggungjawab menjaga keluarga,” kata Remy dipetik daripada mStar Online.
Remy yang sudah mengikat tali pertunangan bersama Roszaliza Yusof tahun lalu juga turut mengakui menghadapi dugaan bertunang seperti yang dilalui pasangan bertunang lain.
“Biasalah setiap hubungan ada turun dan naik. Itu adalah proses untuk kami mengenali satu sama lain,” ujarnya.
Remy juga menambah bahawa buat masa ini, dia dan tunangnya itu masih belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka.
Remy berkata demikian ketika ditemui portal hiburan tersebut di majlis pelancaran pakej percutian Kowamas Holidays untuk bercuti ke Sepanyol bersama kelab peminatnya, pada Ahad.
Sementara itu, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu teruja dengan peluang diraih untuk bercuti bersama peminatnya tidak lama lagi.
Melalui tajaan syarikat tersebut, percutian ke Sepanyol bersama Remy akan turut disertai lebih 30 peminatnya.
Jelas Remy, sepanjang bergelar pelakon selama 12 tahun di dalam industri, dia tidak pernah meluangkan masa dalam tempoh yang lama bersama peminatnya sekaligus menghargai peluang tersebut.
“Saya memang sangat teruja bakal bercuti dengan peminat-peminat yang sentiasa memberi sokongan pada saya sejak mula menceburi bidang seni.
“Insya-Allah kami akan bawa dalam 30 orang ahli kelab peminat saya tapi kalau ada yang nak ikut lepas tu kita masih ada sediakan lebih tempat,” kata Remy. – MYNEWSHUB.CC/EZ