KOTA BHARU – Pengarah, pelakon, pelawak dan pengacara, Mohd. Sabri Yunus kesal watak Pok Ya dalam telefilemnya ‘Pok Ya Cong Codei‘ dimanipulasi pihak tertentu untuk pelbagai tujuan.
Sabri, 57, berkata tindakan tidak bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya menggunakan nama tersebut termasuk bagi melariskan perniagaan mereka, tidak sepatutnya berlaku.
“Saya rasa agak ralat dalam hal ini. Bukan kata ia tidak bagus kalau nama Pok Ya itu boleh beri rezeki kepada orang lain tetapi biarlah kaedah betul atau sekurang-kurangnya meminta izin pihak kami itu adalah lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Santai Makey Tey bersama Pok Ya Cong Codei: Sengoti Ko Lipak (Minum Teh bersama Pok Ya Cong Codei: Betul atau Tipu) di sini, semalam.
Program anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) itu dihadiri kira-kira 300 peminat Sabri yang berpeluang mengenali artis tersebut secara lebih dekat selain dapat mengajukan soalan berhubung telefilem itu.
Sementara itu, katanya, sekuel telefilem Pok Ya Cong Codei bakal dihasilkan berikutan mendapat banyak permintaan daripada peminat.
“Kami merancang untuk membuat sekuel itu untuk tayangan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti selepas perbincangan dilakukan dengan beberapa pihak termasuk sebuah stesen televisyen berbayar,” katanya.
Terdahulu, telefilem yang mula ditayangkan pada 20 Januari lepas menjadi sebutan ramai apabila naskhah arahan Sabri dikatakan menampilkan jalan cerita yang ringan tetapi cukup menarik.
Selain Sabri, ‘Pok Ya Cong Codei’ turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Mustapha Kamal, Uqasha Senrose, Fikri Ibrahim, Saidi Sabri dan ramai lagi. – BERNAMA