LANGKAWI – Jualan Sentuhan Rakyat yang mendapat sambutan hangat pengguna di beberapa lokasi sebelum ini turut mendapat perhatian pengguna di sini yang membanjiri karnival itu yang berlangsung di pekan Kuah hari ini.
Lebih 1,000 pengguna mengunjungi karnival jualan murah itu dalam tempoh setengah jam ia bermula pada 10 pagi tadi.
Anggota Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata program sehari itu dianjurkan oleh pejabatnya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta beberapa agensi lain.
Lebih 20 jenis barang keperluan dapur ditawarkan pada harga diskaun sehingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran biasa, katanya yang ditemui di tapak kanival berhampiran Wisma UMNO Langkawi itu.
Katanya program itu akan dijadikan acara mingguan Parlimen Langkawi dengan Air Hangat sebagai destinasi seterusnya minggu depan. – BERNAMA