MELAKA – Purata sampah kira-kira 1,000 tan sehari diterima pusat pelupusan sampah di negeri ini dijangka meningkat kepada sekitar dua peratus menjelang Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada Jumaat dan Sabtu ini.
Pengurus Wilayah SWM Environment Melaka dan Negeri Sembilan Dr Al’ Ashari Othman berkata pihaknya tidak melihat peningkatan itu sebagai masalah besar kerana telah melakukan persiapan rapi dalam menghadapi pertambahan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyeru orang ramai supaya mengamalkan pengasingan sisa pepejal bagi memastikan sampah dapat diurus dengan baik dan seterusnya menjaga alam sekitar.
“Kami memohon kerjasama orang ramai dalam usaha ini. Kami sentiasa memberi tumpuan menjaga kebersihan di bandar raya ini yang bakal menjadi tumpuan pelancong terutamanya pada musim perayaan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, SWM Environment Sdn Bhd menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan angpau kepada 25 penghuni Spring Day Home Care, Cheng di sini sebagai tanggungjawab sosial syarikat bagi menceriakan penghuni pusat jagaan itu. Turut hadir Pengarah Eksekutif SWM Environment, Dr Uzir Abdul Malik.
Al’ Ashari berkata tahap kesedaran orang ramai dalam melaksanakan pengasingan sisa pepejal dari punca dilihat semakin positif sejak penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada tahun 2015.
“Semakin banyak maklum balas positif dan kerjasama baik diberikan oleh masyarakat yang dilihat semakin memahami dan sedar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Oleh itu, kita akan menggiatkan lagi usaha bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai berhubung tanggungjawab menjaga persekitaran melalui pengurusan sampah secara berkesan dengan menggunakan konsep 3R,” katanya.
Katanya bagi sebarang pertanyaan dan maklumat, orang ramai boleh menghubungi saluran-saluran yang disediakan seperti Talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 ataupun menerusi aplikasi Whatsapp SWM di nombor 012-6180082. – BERNAMA