PERMAINAN video bola sepak popular, FIFA 18 cukup sinonim dimainkan oleh kaum adam tetapi itu bukanlah penghalang kepada wanita ini untuk menembusi kelompok tersebut.
Azroy Adyana Tajuddin, 25 atau senang dikenali sebagai Nia, kini menjadi satu-satunya pemain wanita yang bakal menyertai pasukan Order of Elites Asia (Ooe) untuk mewakili Asia Tenggara dalam kejohanan FIFA 18 di Jerman.
Gadis kelahiran Ipoh, Perak ini dipilih dalam pasukan Ooe selepas berjaya menduduki kedudukan 16 teratas dalam Kejohanan Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara yang diadakan di Battle Arena, Petaling Jaya baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Nia memberitahu dia sangat teruja apabila terpilih sebagai satu-satunya wakil wanita yang ditawarkan untuk menganggotai antara pasukan FIFA yang digeruni di Asia Tenggara itu.
“Saya percaya OoE akan membantu saya dari segi keperluan nasihat jurulatih dan mentor serta latihan untuk menjadi pemain yang profesional.
“Dengan kemahiran yang akan diperolehi bersama pasukan ini, saya berharap ia akan membawa saya untuk menjadi antara pemain wanita terbaik di Asia,” katanya memetik portal berita Astro Awani.
Sementara itu menurut pengasas pasukan OoE, Mohd Phirkhan berkata minat mendalam, kemahiran dan corak permainan Nia mendorong OoE untuk merekrutnya.
“Kami sangat gembira dengan penyertaan Nia dalam keluarga OoE. Dia sentiasa bertenaga dan sentiasa mahu mempelajari perkara yang baharu.
“Saya percaya ramai pemain wanita berbakat di luar sana yang perlu diketengahkan,” katanya lagi.
Bertepatan dengan prinsip pasukan tersebut, mereka sangat menyokong wanita dan tidak akan pernah memandang sebelah mata terhadap golongan wanita kerana mereka mempunyai bakat terpendam. – MYNEWSHUB.CC