BONGKAR… Bekas negarawan yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan sebagai seorang penipu paling besar di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, hal demikian kerana Mahathir sendiri banyak melakukan perkara yang beliau sendiri pernah larang sewaktu menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
“Mahathir jangan hendak menipu, saya tahu semua perkara. Dahulu, sewaktu saya dilantik menjadi menteri Kabinet selama lima tahun, dia ajar saya kita perlu buat sesuatu untuk bangsa Melayu, semua dia habis nasihat saya.
“Termasuk hari ini, jika saya kurang ajar, dia yang ajar saya jadi kurang ajar. Jadi, jangan marah saya. Kalau kita berguru dan guru itu buat perkara yang dulu dia pesan kita jangan buat, sudah tentu anak murid amuk,” katanya.
Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, mendedahkan demikian ketika menjawab soalan peserta mengenai perbezaan kepemimpinan sewaktu menjadi menteri di bawah tiga pemerintahan yang berbeza.
Beliau menjadi ahli panel dalam Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan 4All yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Kuala Krai yang berlangsung Dewan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) semalam.
Turut serta ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Ahli Parlimen Machang dan Pengarah Komunikasi Stratergik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.
Program jerayawara bersiri yang turut diadakan di seluruh negara itu bertujuan untuk memberi penerangan serta pendedahan tentang situasi sebenar sesuatu isu semasa diputar belit pembangkang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA