SELAMA 10 tahun mencari rezeki di Malaysia membuatkan penyanyi Imran Ajmain mempelajari banyak perkara sehingga menjadikan dia sebagai seorang komposer di sini.
Imran atau nama sebenarnya, Ahmad Imran Ahmad Husaini Ajmain, 37, mula dkenali di Malaysia dengan lagu popularnya iaitu Selamat Ulang Tahun Sayang dan kini dia sudah mencipta banyak lagu untuk penyanyi lain.
Antaranya termasuk Anuar Zain, Taufik Batisah, Dina Nadzir, Sleeq dan ramai lagi. Namun disebabkan statusnya sebagai warganegara Singapura, membuatkan Imran mengalami kesukaran untuk dia bergelar seorang komposer.
“Menjadi impian setiap komposer untuk menulis lagu dan memberikannya kepada penyanyi yang sesuai.
“Apabila penyanyi itu menyampaikan lagu ciptaan komposer, pastinya pihak komposer sendiri simpan cita-cita untuk lihat karya mereka pergi jauh, memenangi anugerah serta diberikan pengiktirafan.
“Semenjak lebih 10 tahun lalu, saya ‘tidak layak’ untuk mencapai impian tersebut di Malaysia kerana saya merupakan warga Singapura,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.
Menurut Imran, jika dia memakai nama sebenarnya ataupun nama pena, itu masih tidak membolehkan penyanyi lagu Seribu Tahun itu layak bergalar seorang komposer di sini.
Selepas 10 tahun menanti, akhirnya tahun 2018 merupakan tahun tuah bagi Imran kerana dia kini sudah mendapat taraf sebagai Penduduk Tetap (PR) di Malaysia dan ianya juga merupakan satu permulaan yang baharu baginya untuk bangkit bersama impian yang sudah dipendam sejak 10 tahun lalu.
“Saya akan meneruskan lagi minat mencipta lagu dan tidak akan berhenti untuk menghasilkan karya berkualiti demi peminat muzik di luar sana,” tambahnya lagi.
Baru-baru ini, Imran telah mengadakan konsert yang diberi nama Imran Ajmain Live Band Showcase pada Khamis lalu.
Seramai 100 orang peminat setianya telah hadir bagi bertentang mata dengannya sambil ‘melayan’ lagu popularnya iaitu Jika Engkau Pergi, Seribu Tahun, Selamat Ulang Tahun Sayang, Sentiasa Merinding dan banyak lagi.
Dalam masa yang sama, dia turut akan tampil dengan lagi baharu yang bertajuk Intan dan Perak.
November lalu, Imran telah berduet bersama dengan Najwa Mahiaddin bagi lagu baharu mereka yang berjudul Sentiasa Merinding dan sehingga kini, mereka masih lagi giat mempromosikan lagu berkenaan. – MYNEWSHUB.CC/AH