CANGGIH! Teknologi masa depan yang menakjubkan muncul lagi, kali ini sangat sesuai untuk mereka yang memang malas susun kasut sendiri.
Sebuah pusat penginapan tradisional Jepun atau ryokan baru di Jepun baru-baru ini menawarkan pelanggan dengan bilik yang mengandungi teknologi selipar untuk bergerak sendiri.
ProPilot Park Ryokan menggabungkan layanan tradisional Jepun serta teknologi syarikat automobil terkenal, Nissan yang dilengkapi dengan sensor berteknologi tinggi dan kamera canggih.
Ini biasanya memang digunakan untuk membolehkan kereta dapat diparkir secara automatik tanpa menggunakan kudrat tenaga pemandu.
Menggunakan teknologi ini, selipar yang terdapat di hotel tersebut memiliki fungsi sama seperti kenderaan keluaran Nissan yang membolehkan ia bergerak hanya dengan menekan satu butang.
Mula diperkenalkan ketika pelancaran kereta Nissan Leaf pada Oktober 2017, sistem ProPilot Park ini berfungsi menggunakan empat kamera resolusi tinggi yang mampu memproseskan imej.
Ia turut dilengkapi dengan 12 sensor sonar yang biasanya memang diletakkan di sekitar kenderaan untuk menilai persekitaran kawasan parkit.
“Pemacu untuk mengaktifkan teknologi boleh dilakukan dengan menekan butang. Ia mesti ditekan sepanjang masa (jika tidak, kenderaan akan berhenti), tidak seperti ‘Tesla Model S’ yang berkonsep hands-free. Pemandu juga boleh menekan brek jika perlu,” jelas kenyataan Nissan.
Selain selipar, teknologi ini juga diletakkan ke dalam kusyen lantai dan meja rendah tradisional yang sinonim dengan budaya Jepun supaya perabot berkenaan mampu tersusun sendiri.
Dalam masa sama mengurangkan beban kakitangan hotel tersebut untuk mengemas semula keadaan bilik yang mungkin teruk berselerak.
Teknologi moden ini boleh mula digunakan sekitar bulan Mac ini dan pasti akan menarik perhatian orang ramai untuk mengalami ‘pengalaman’ baharu tersebut.
“Selipar dicipta bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai teknologi pandu sendiri/automatik,” kata Nick Maxfield, jurucakap Nissan.
Projek unik ini kebetulan seiring dengan rancangan Nissan untuk memperkenalkan model kereta pandu sendiri menjelang tahun 2020. – MYNEWSHUB.CC/EZ