KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang mengaku dirinya bergelar ‘Datuk Seri’ yang dituduh memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), tahun lepas diberi amaran oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini supaya menghormati mahkamah kerana hadir memakai seluar pendek semasa sebutan kesnya.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menegur Liow Soon Hee, 29, selepas melihat tertuduh dengan bersahaja masuk ke bilik bicara seterusnya ke kandang tertuduh dengan memakai seluar pendek di atas paras lutut berwarna biru bercorak bunga-bunga putih, yang kelihatan seperti seluar tidur.
Mohamad Firdaus bertanyakan tertuduh tidakkah dia mempunyai seluar yang lebih elok dan mengapa dia memakai seluar pendek?, Liow yang memakai baju T kelabu dan berselipar menjawab dia dijangkiti ‘eczema’ menyebabkan betis dan kakinya kemerah-merahan dan dia juga memakai ubat sapu yang diberikan doktor.
Mohamad Firdaus kemudian meminta surat doktor yang mengatakan tertuduh ada menerima rawatan eczema namun tertuduh memaklumkan dia tidak membawa surat itu menyebabkan Mohamad Firdaus memberi amaran kepadanya.
“Kamu ada nampak orang pakai seluar pendek di dalam mahkamah? Ini undang-undang, datang mahkamah kena datang pakai ‘proper’ (elok). Kamu mahu orang hormat kamu, kamu kena hormat orang.
“Kalau kamu kata kaki kamu sakit kulit, kamu bawa surat doktor (dan) kalau kamu tidak boleh pakai seluar panjang, kamu pakai seluar pendek di luar dan bila masuk mahkamah, pakai seluar panjang. Prosiding sekejap sahaja, beberapa minit, saya bagi kamu amaran,” katanya kepada tertuduh yang mengangguk-anggukkan kepalanya.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak memaklumkan beberapa dokumen berkaitan kes itu akan diserahkan kepada peguam Farhana Abd Halim dan mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 3 November 2017, Liow mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menyebabkan cedera parah, menyerang penjawat awam dan menyebabkan kecederaan ke atas tiga anggota Rela yang sedang bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, di sini.
Bagi pertuduhan pertama, Liow didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Lee Weng Poh, 27, di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini pada 6.30 pagi, 27 Oktober 2017 mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga dituduh dengan niat menyerang penjawat awam, Melvin Cheong Mun Khai, 21, yang sedang menjalankan tugasnya sebagai anggota Rela di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Liow didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Leong Jun Jie, 21, dan Melvin di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA