KUALA LUMPUR – Semangat berpasukan dan juang yang tinggi, menjadi faktor utama membantu pasukan Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), bangkit mengikat Kuantan FA 1-1 dalam aksi Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di sini, semalam.
Pengurus Pasukan K. Rajendran berkata, para pemain telah mempamerkan prestasi yang terpuji untuk mendapatkan gol penyamaan pada separuh masa kedua, walaupun ketinggalan 0-1 dan kehilangan seorang pemain yang dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama.
“Mereka (pemain) telah beraksi dengan baik dengan mengambil kira nasihat yang diberikan oleh ketua jurulatih K. Devan pada waktu rehat. Secara keseluruhan, satu persembahan yang baik dari pemain kita.
“Saya berharap MIFA boleh meraih tiga mata penuh dalam perlawanan seterusnya apabila turun beraksi dengan Terengganu II di laman sendiri (Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya) Jumaat ini. Saya akan meminta Devan membuat persiapan, terutamanya dari segi taktikal,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan tersebut.
Dalam perlawanan semalam, Kuantan FA yang turun selaku pasukan tuan rumah, terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi pemain import Montenegro, Zarko Korac pada minit ke-13, sebelum penyerang MIFA G. Mugenthirran dibuang padang oleh pengadil perlawanan, Mohd Jefri Zolkefli pada minit ke-33 kerana mengasari Andre Fransisco Williams.
Bagaimanapun Kuantan FA gagal menggunakan peluang itu, apabila MIFA berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman yang menanduk masuk bola daripada sepakan percuma pada minit ke-55.
Rajendran turut berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh empat pemain import pasukan itu – Kpah, Elizeu Araujo de Melo Batista dari Portugal, L´Imam Seydi (Senegal) dan Beom-Geun Bae (Korea Selatan) dalam dua aksi liga setakat ini.
Juara Piala FAM 2016 itu, membuka kempen dengan keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Jumaat lalu.
Sementara itu, penolong jurulatih Kuantan FA, Rusdi Suparman berkata para pemainnya masih sedang mencari rentak permainan dan keserasian, kerana ini kali pertama pemain utama diturunkan beraksi.
“Perlawanan hari ini cukup menarik…Kita menganggap perlawanan hari ini sebagai aksi pertama kerana kita tidak dapat menurunkan semua pemain utama ketika kekalahan 1-0 kepada Sarawak hari itu.
“Terdapat sedikit kecacatan di bahagian tengah yang menyebabkan kita tidak dapat bermain dengan sepenuhnya. Kemungkinan mereka akan mengambil sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri kerana baharu sahaja digabungkan,” kata bekas penyerang kebangsaan dari Selangor itu.
Pasukan Kuantan FA seterusnya akan bertemu UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu. – BERNAMA