PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) dilaporkan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mengadakan operasi bersepadu di set penggambaran.
Memetik sumber, difahamkan tujuan operasi itu adalah bagi membanteras kes penyalahgunaan najis dadah dalam kalangan artis tanah air sebelum keadaan menjadi lebih parah tidak dapat dikawal.
Menurut satu kenyataan akhbar Seniman, persatuan itu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr. Abd. Halim Mohd. Hussin dan pegawai kanan agensi tersebut, semalam.
Pertemuan dua hala itu menemui kata sepakat apabila Seniman menawarkan kerjasama bagi mengadakan operasi serta serbuan bersepadu di lokasi penggambaran drama mahupun filem.
Tindakan ini diambil berikutan persatuan itu yang begitu komited dan memandang serius berhubung isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan selebriti dan ternyata ia mendapat sambutan baik daripada AADK.
Bahkan, Seniman turut mengusulkan cadangan untuk mengadakan sebuah program berbentuk forum mengenai kesedaran terhadap bahayanya dadah dalam kalangan artis yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Justeru, orang ramai digesa untuk bersama berganding bahu untuk menggalas tanggungjawab perangi narkotik demi memartabatkan industri tanah air bebas daripada najis dadah menjelang 2023! – MYNEWSHUB.CC/AM