KLANG – Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah jenis syabu ke Indonesia dengan penahanan empat lelaki termasuk dalangnya selain merampas dadah seberat 29.35 kilogram bernilai kira-kira RM2.05 juta dalam tiga serbuan di Pulau Indah di sini, Sabtu lepas.
Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata dalam serbuan antara 10.45 malam dan 11.30 malam itu, pihaknya turut merampas sebuah kereta Perodua Viva serta mata wang Indonesia berjumlah dua juta rupiah.
“Dadah berkenaan ditemui dalam serbuan pertama di sebuah rumah Kampung Perigi Nenas di sini, disorokkan di dalam empat buah tong yang disimpan dalam but sebuah teksi milik suspek pertama yang merupakan warga tempatan.
“Hasil serbuan itu telah membawa kepada penahanan seorang warga Indonesia berusia 44 tahun yang merupakan dalang sindiket di kawasan Persiaran Masjid Sultan dan dua lagi anggota sindiket itu ditahan di sebuah stesen minyak juga di Pulau Indah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli.
Kang berkata penahanan dua lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia berusia antara 27 dan 44 tahun itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Badan Narkotika Nasional Republik Indonesia.
“Kami percaya dadah ini akan diseludup ke Aceh, Indonesia melalui jalan air dan pengangkutan ke sana disediakan oleh dalang berkenaan manakala warga tempatan yang ditahan dipercayai bekerja sebagai ‘runner’ sindiket,” katanya.
Kang berkata polis percaya dadah berkenaan dibawa masuk ke sini dari negara jiran sebelum dihantar ke Indonesia untuk dijual pada harga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding harga pasaran di Malaysia.
“Ini merupakan sindiket menyeludup dadah ke Indonesia yang ketiga ditumpaskan polis pada tahun ini denga yang pertama di Kuala Lumpur dan kedua di Pulau Pinang, melibatkan jumlah rampasan dadah jenis syabu keseluruhannya seberat 130 kg,” katanya.
Beliau berkata PDRM akan terus mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa bagi membanteras aktiviti penyeludupan bahan terlarang berkenaan. – BERNAMA