SINGAPURA – Kali terakhir insiden ini pernah berlaku ialah pada 1993 lalu iaitu ketika zaman dunia belum lagi ada Internet apatah lagi media sosial dan era ledakan teknologi canggih gajet pintar.
Namun apabila terbongkar cerita kertas jawapan bagi mata pelajaran Kimia (H2) Peperiksaan GCE peringkat A 2017 dicuri di Britain ketika dalam perjalanan untuk disemak pemeriksa, ia ternyata amat memalukan Singapura.
Sebanyak 238 pelajar dari empat buah junior college (JC) atau maktab rendah terjejas ekoran kes kecurian pada 16 November tahun lalu dan hanya diketahui umum semalam, menurut laporan media tempatan di pulau kecil itu.
Ia namun merangkumi sekitar tiga peratus daripada 8,843 calon sekolah yang menduduki kertas tersebut iaitu dari Maktab Rendah Anderson, Maktab Rendah Anglo-Chinese, Institusi Hwa Chong dan Maktab Rendah Nanyang.
Gred akhir mereka yang terjejas itu bakal disesuaikan dengan mengambil kira rekod keputusan peperiksaan calon berdasarkan sekolah, demikian menurut Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Jumaat.
Kertas jawapan yang dicuri di England itu merupakan Kertas 3 subjek Kimia H2, yang terdiri daripada soalan-soalan dengan jawapan bebas yang hanya membawa markah 35 peratus terhadap gred akhir dalam subjek tersebut.
Ia berlaku dalam perjalanan dari pejabat Penilaian Cambridge kepada pemeriksa untuk disemak. Sebuah bungkusan mengandungi kertas jawapan itu selain tujuh lagi bungkusan lain lesap dari van syarikat penghantaran tersebut.
Syarikat kurier itu kemudian membuat laporan kepada polis Britain pada hari yang sama. Siasatan masih dijalankan dan polis tempatan masih belum lagi berjaya menemukan kertas-kertas jawapan yang dicuri sehingga ke hari ini.
Pihak SEAB hanya dimaklumkan tentang pencurian itu pada 30 November dan segera menghubungi Penilaian Cambridge untuk mendapatkan perkembangan terkini. Namun sehingga awal Januari, polis Britain masih buntu!
Para pelajar yang terjejas cuma dimaklumkan tentang kejadian ini apabila mereka mengambil keputusan pada 2.30 petang semalam di sekolah masing-masing. SEAB menyatakan ia sudah menimbangkan implikasi alternatif lain.
Calon terjejas diberikan pilihan untuk menduduki semula kertas itu pada 25 April dan keputusan dikeluarkan bulan berikutnta. Mereka yang menjalani khidmat negara pula diberi pilihan mengambil peperiksaan itu pada November.
Pelajar terbabit boleh memohon untuk melakukannya dalam tempoh dua minggu ini. Peperiksaan semula itu akan berdasarkan kepada sukatan kurikulum yang sama dan bakal diadakan langsung di pejabat SEAB.
Ini kali pertama kertas jawapan peperiksaan kebangsaan dicuri selepas kali terakhir pernah berlaku pada 1993 dan melibatkan 261 kertas jawapan untuk mata pelajaran Sastera bagi peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ yang hilang.
Ketua eksekutif SEAB, Tan Lay Choo dipetik media tempatan bagaimanapun ketika mengulas insiden kecurian itu menambah, ada ‘perbezaan ketara’ dalam menentukan gred pelajar yang terjejas dalam dua kes unik tersebut.
“Bagi peperiksaan Sastera, hanya ada satu kertas ujian. Ini bermakna ia membabitkan 100 peratus keputusan bagi subjek itu tetapi dalam kes ini pula, hanya ada 65 peratus hasil keputusan dan cara yang digunakan sangat berbeza.
“Kali ini, kami ambil kira prestasi calon di JC untuk buat unjuran bagi baki 35 peratus. Manakala pada 1993, kami sama sekali tiada keputusan peperiksaan calon dan unjuran berdasarkan keputusan peperiksaan sekolah mereka.”
Tambahnya, beliau sangat “yakin” dengan cara yang digunakan untuk membuat unjuran gred para pelajar yang terjejas. “Ia merupakan cara yang sudah diuji, metodologi yang mantap, dan mempunyai asas statistik yang kukuh.
“Ia bukan kaedah yang baharu. Kami sudah menggunakan kaedah ini terhadap para pelajar yang tidak menduduki kertas peperiksaan atas sebab-sebab tertentu pada masa lalu, jadi kami yakin cara ini adalah berkesan.”
Ekoran kes ini, Penilaian Cambridge dan SEAB menilai kira prestasi calon dalam kertas Kimia 1, 2 dan 4 – yang kesemuanya merangkumi 65 peratus terhadap gred akhir selain prestasi kohort secara keseluruhan dalam subjek.
SEAB menyatakan ia akan bekerjasama dengan pihak universiti tempatan untuk menimbangkan keputusan calon yang menduduki semula peperiksaan itu, meliputi urusan temu duga bagi kemasukan dan permohonan biasiswa.
Menurutnya ia akan mengambil langkah bagi memastikan para pelajar tidak terjejas serta diberi “penilaian yang sah dan adil” kerana kejadian kehilangan kertas itu bukan melibatkan kecuaian calon sebaliknya oleh pihak luar.
SEAB turut menarik perhatian ia difahamkan bahawa Cambridge akan menjalankan semakan terhadap prosesnya untuk memastikan keselamatan kertas-kertas peperiksaan, dan “melindungi integriti peperiksaan kebangsaan kita”.
Dalam kenyataan media, Pengarah Penilaian Antarabangsa Cambridge, Roderic Gillespie dipetik berkata, pihaknya memohon maaf kepada semua pelajar yang terjejas, termasuk ahli keluarga dan sekolah mereka terlibat.
“Keselamatan kertas ujian adalah paling penting bagi kami. Cambridge terus berhubungan dengan polis dan syarikat penghantaran untuk untuk elak berulang kejadian sedemikian di masa depan.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA