SINGAPURA – Agri-Food & Veterinary Authority of Singapore (AVA) hari ini memulangkan kopi perisa durian ‘Coffee Tree Mycafe 4-In-1 Penang Durian White Coffee’ kepada pengimportnya kerana semua sampel yang diambil, lulus ujian yang dijalankan.
AVA sebelum itu menarik balik produk Coffee Tree MyCafe 4-in-1 Penang Durian White Coffee pada 3 Feb sebagai langkah mencegah berikutan laporan beberapa pengguna di Pulau Pinang dimasukkan ke hospital selepas meminum kopi itu.
“Kami mengambil sampel produk yang ditarik balik untuk ujian keselamatan makanan dan kesemua sampel itu lulus ujian kami,” katanya dalam status terbaru laman Facebooknya.
AVA berkata ia juga telah membuat tindakan susulan dengan pihak berkuasa Malaysia tentang kes ini.
“Pihak berkuasa Malaysia memaklumkan kepada kami bahawa produk yang dikaitkan dengan insiden di Pulau Pinang itu didapati telah dicemari dan tiada bukti menunjukkan produk utama yang tercemar.
“AVA oleh itu telah melepaskan produk ini kepada pengimportnya hari ini,” katanya. – BERNAMA