KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak lebih agresif dari segi penguatkuasaan dan pendidikan bagi memerangi rasuah, sekali gus mencapai misi dan visinya iaitu sifar rasuah menjelang 2020.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya tidak akan sesekali menghentikan penguatkuasaan yang tegas terhadap setiap individu yang terlibat dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa.
“Malah SPRM akan melancarkan lebih banyak program bersama rakyat secara berterusan bagi memupuk kebencian terhadap jenayah itu, termasuk dua program besar pada bulan ini.
“Antaranya program bersama penjawat awam yang sama seperti kempen Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle (3J) akan dilancarkan serentak di seluruh negara bermula minggu depan,” katanya pada sidang media program pertandingan menembak bersama media di sini, hari ini.
Beliau berkata selain program bersama penjawat awam, SPRM juga sedang merancang pelaksanaan program bersama golongan wanita dan pelajar sekolah dalam pelbagai bentuk selain kempen pencegahan rasuah.
“Program berkaitan wanita pula diadakan sempena tema tahun ini iaitu dalam usaha memperkasakan wanita yang akan dilancarkan pada Mac depan.
“Saya berharap pihak media terus menunjukkan sokongan dengan menyampaikan mesej kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 100 pengamal media daripada 20 agensi media tempatan menyertai pertandingan menembak yang dianjurkan SPRM.
Pemenang membawa pulang plak selain sijil penyertaan yang diterima semua peserta serta disampaikan oleh Dzulkifli. – BERNAMA