KOTA BHARU – Polis menahan sepasang suami isteri bersama dua pucuk pistol serta 18 peluru hidup dalam operasi di rumah mereka di Taman Bakti, Pasir Mas.
Sewaktu operasi oleh Pasukan Gerakan Am Batalion 9 (PGA9) itu, suspek lelaki cuba merasuah pegawai dan anggota PGA terbabit dengan menawarkan wang sebanyak RM1,700 tetapi ditolak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata dua pucuk pistol separuh automatik itu dijumpai disembunyikan dalam sebuah kabinet di ruang tamu rumah teres dua tingkat yang didiami pasangan itu yang berumur 27 dan 29 tahun serta dua anak lelaki berusia lima dan sembilan tahun.
Beliau berkata serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam di mana sepasukan anggota PGA9 telah membuat intipan kira-kira 12.30 tengah malam tadi.
“Ketika serbuan pihak polis terpaksa memecahkan pintu rumah untuk masuk selepas ternampak kelibat seorang lelaki cuba melarikan diri ke bahagian atas rumah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Hasanuddin berkata polis menahan suami isteri itu dalam sebuah bilik manakala dua kanak-kanak lelaki yang sedang tidur di bilik berasingan tidak ditahan.
Beliau berkata suspek lelaki merupakan penduduk tempatan mempunyai rekod kesalahan lampau antaranya berkaitan dadah manakala isterinya pula merupakan rakyat negara jiran.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, senjata api yang dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran sejak seminggu lalu dan suspek mengaku membelinya dengan harga RM7,000 sepucuk berserta peluru dan sarung.
“Difahamkan sepucuk pistol lagi adalah milik kawan suspek yang dibawa masuk sejak tiga hari lalu dan diminta untuk disimpan di rumahnya sebelum dijual kepada seorang pembeli dari Kuala Lumpur. Suspek juga memberitahu segala urusan adalah melalui orang tengah,” katanya.
Hasanuddin berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek adalah negatif dadah. – BERNAMA