TIDAK malu untuk berkongsi kebahagiaan mereka daripada zaman bercinta lagi, ucapan sayang pelakon Mawar Rashid dan suaminya, Raf Yaakob menarik perhatian netizen.
Terbaru Mawar memuat naik status di laman Twitternya dengan menyifatkan Raf sebagai suami idaman semua wanita.
Malah kata Mawar, adik kepada chef dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob itu juga seorang ayah yang akan disayangi anak-anak mereka.
Raden love🌹You are the husband every woman wants. You are the father every kid will love. You are the friend no one else can have. You are all that I have. Thank you for everything my love. I miss you, Rayyan & Chanela so much 💖 pic.twitter.com/76wbAyWzsV
— Mawar Rashid (@mawarashid) 3 February 2018
“Raden sayang. Awak adalah suami idaman semua wanita. Awak adalah ayah semua kanak-kanak akan sayangi.
“Awak adalah rakan baik yang pasti tidak dapat dimiliki oleh orang lain. Awak adalah segalanya untuk saya,” tulis Mawar. Bersemut skrin kami!
Sebenarnya, Mawar memuat naik gambar berserta kapsyen sebegitu oleh kerana terlalu rindukan suami dan kedua-dua anak tirinya, Rayyan dan Chanela.
“Terima kasih untuk semua sayang. Saya sangat rindu awak, Rayyan dan Chanela,” katanya.
Mawar turut memuat naik video sweet suaminya terlentok di bahunya sambil membelai-belai pipi lelaki itu.
Manakala di laman Instagram Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob, 33, pula memuat naik foto dan video pertama kali mereka keluar bersama pada tahun lalu.
Menerusi kapsyen yang ditulis Raf bersyukur selepas setahun berlalu, kini Mawar sah menjadi isterinya.
Kata Raf, dia berasa seperti di syurga apabila Mawar sentiasa setia di sampingnya dan berterima kasih kepada Allah kerana mengurniakan kehidupan bahagia buat keluarganya.
“Sudah setahun berlalu kita berjumpa dan saya sangat bersyukur awak adalah isteri saya sekarang. Anje sayang, awak adalah semua yang saya impikan.
“Saya berikan semua hati saya dan awak penuhkan ia dengan kasih sayang. Ia seperti di syurga dunia dengan awak disisi saya. Alhamdulillah, Terima kasih Allah,” kata Raf.
Raf dan Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 23, berkahwin pada 9 November tahun lalu selepas empat bulan mengikat tali pertunangan.
Raf mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan pertama iaitu Raden Ahmad Rayyan, 7, dan Raden Seri Raysaa Chanela yang kini berusia tiga tahun. –Â MYNEWSHUB.CC