LAZAT… Penyerang kelab Barcelona kelahiran Uruguay, Luis Suarez yang dilantik sebagai duta pelancongan Malaysia tahun ini mula mempromosikan makanan tempatan popular di negara ini.
Menerusi video berdurasi dua minit dan 17 saat terbitan Malaysia Truly Asia yang dimuat naik di laman YouTube sejak kelmarin itu, Suarez mencuba merasai keenakan roti canai, sate, char kway teow, nasi lemak dan popiah.
Beliau yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-31 pada 24 Januari lalu ternyata begitu menyukai sate, char kway teow, nasi lemak dan roti canai manakala popiah pula dikatakan terlalu pedas dan berempah.
Video eksklusif tersebut sudah ditonton lebih seribu kali dan menerima puluhan komen netizen dari seluruh dunia. Difahamkan kontrak Luis Suarez bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berjalan selama setahun.
Beliau dipilih menjadi duta khas bagi usaha kementerian tersebut mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, berdasarkan prestasi semasa kelab ternama Eropah itu serta populariti pemain berkenaan sendiri.
Pemain itu mempunyai lebih 25.3 juta pengikut di Instagram, 18.9 juta di akaun Facebook manakala 12.4 juta lagi pengikut di Twitter sekali gus dilihat berbaloi untuk melantik Suarez sebagai duta pelancongan negara.
Suarez juga akan berperanan untuk mengeluarkan kata-kata bagi mengajak pelancong antarabangsa ke Malaysia, terutama dari China yang dianggarkan berjumlah lebih 400 juta sering mengikuti perkembangan La Liga Sepanyol.
Beliau yang pernah bermain dengan pelbagai kelab di Belanda pada usia 19 tahun sebelum berhijrah ke Liverpool, England dan kemudian skuad Barca mulai 2014, turut mewakili Uruguay sejak 2006. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA