SELEPAS mengalami kegagalan dalam pertunangan, Sufian Suhaimi mengakui tidak lagi menaruh sebarang harapan untuk hubungan dengan aktres, Elfira Loy kembali pulih.
Malah, penyanyi berusia 26 tahun itu juga dilihat seperti sudah serik untuk mempunyai hubungan istimewa dengan Elfira meskipun masih mahu terus berkawan.
“Orang kata kalau kita mengharap yang lebih, kita akan lebih terluka. Biarlah selepas ini kami menjadi sahabat sahaja,” katanya seperti dipetik sebuah portal online, hari ini.
Menurut Sufian, dia menerima dengan hati terbuka keputusan yang dibuat oleh keluarga bekas tunangannya itu, meskipun ia telah menoktahkan impian pasangan itu untuk hidup bersama sebagai suami isteri.
“Terputusnya ikatan pertunangan kami atas perbincangan keluarga dua belah pihak. Walaupun saya sudah sangat bersedia untuk menjadi seorang suami, sudah pindah ke rumah baharu untuk memulakan kehidupan berkeluarga semenjak bulan lalu, saya tetap reda dengan keputusan ini.
“Saya dan Elfira sentiasa percaya dalam kehidupan, apa juga keputusan yang dibuat oleh ibu bapa mempunyai hikmah tersendiri untuk kita sebagai anak,” kata Sufian.
Ketika ditanya mengenai punca putusnya tali pertunangan mereka, Sufian bagaimanapun tidak memberitahu secara tepat sebaliknya hanya menyatakan ia adalah hasil perbincangan keluarga kedua-dua belah pihak.
Pun begitu memetik beberapa sumber, sebelum ini ibu Elfira iaitu Filzah Yusof membuat kenyataan media mengatakan ia diputuskan kerana dia tidak sanggup lihat anak gadisnya itu hidup susah selepas kahwin.
“Saya cuma berharap anak saya dipertemukan lelaki jujur, beriman dan tahu jalan tanggung jawab sebagai pemimpin keluarga. Ini kerana rezeki tidak datang bergolek jika tidak berusaha,” kata Filzah.
Sehingga kini, punca sebenar terlerainya hubungan kedua-dua pasangan itu masih belum dapat dikenal pasti.
Apa-apapun, kami di Mynewshub sentiasa mendoakan yang terbaik buat kedua-dua selebriti ini. – MYNEWSHUB.CC/AM