KUALA LUMPUR – Syarikat multinasional digalak menyertai Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), seiring hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran 35 peratus pekerja mahir menjelang 2020.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata program SLDN merupakan konsep latihan industri meliputi 70 hingga 80 peratus latihan praktikal dan selebihnya adalah teori atau pembelajaran dalam kelas.
“Hingga kini pelaksanaan SLDN di Malaysia berjaya melatih 106,769 perantis melibatkan pentauliahan 5,479 syarikat dan 2,679 pusat latihan,” katanya pada majlis pelancaran program SLDN McDonald’s Malaysia, di sini.
Melalui SLDN yang diwujudkan pada 2005, beliau berkata negara dapat melahirkan tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi selaras dengan keperluan industri.
Katanya komposisi tenaga kerja mahir dalam negara meningkat kepada 31 peratus kini, berbanding 28 peratus pada 2015.
Pada majlis itu McDonald’s Malaysia diumumkan sebagai restoran makanan segera pertama menerima sijil pentauliahan SLDN.
Kumpulan pertama program SLDN McDonald’s Malaysia bermula pada Mac yang terdiri daripada 30 perantis merangkumi pekerja sedia ada dan pekerja baharu.
Sepanjang tempoh 18 bulan latihan, perantis turut diberikan elaun RM1,200, manfaat perubatan dan insurans serta makanan percuma. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…