DUA lelaki berusia 29 dan 44 tahun ditahan polis semalam kerana mengurung penyewa rumah yang gagal menjelaskan sewa bulanan dalam kejadian di Tropicana Metroprak, Subang Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, polis menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa yang menelefon memaklumkan pintu jeriji rumah berkenaan dikunci pemilik rumah.
Menurutnya, pintu berkenaan dikunci pada Sabtu lalu kerana penyewa gagal membuat bayaran bulanan sebanyak RM1,100 kepada pemilik rumah.
“Seorang lelaki yang juga ejen hartanah bertindak mengunci pintu berkenaan menggunakan kunci mangga atas arahan pemilik rumah.
“Bagaimanapun kedua-dua suspek ditahan selepas diarah membuka kunci rumah berkenaan pada 11.30 pagi semalam,” katanya.
Muhammad Azlin berkata, mangsa yang tinggal bersama keluarga gagal keluar dari rumah berkenaan selama 15 jam akibat dikunci.
“Kedua- dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan,” katanya. – myMetro Online
*Video sekadar hiasan…