Saturday, October 26, 2024

Creating liberating content

Enjin Pesawat Meletup, Seorang...

PHILADELPHIA - Enjin pesawat Southwest Airlines dari New York ke Dallas meletup menyebabkan...

Azraai Khor Meninggal Dunia

ARENA bola sepak tanah air khususnya penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dikejutkan...

Harga Minyak Dunia Terus...

SINGAPURA - Harga minyak dunia jatuh hari ini berikutan jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport...

Remaja Dihukum Penjara 23...

Seorang remaja perempuan yang juga blogger cerita seram, dipenjarakan selama 23 tahun selepas...

Tanah Bencah Setiu Destinasi Unggul Ekopelancongan

SETIU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kawasan Tanah Bencah Setiu menjadi satu lagi tarikan pelancong di negeri itu selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai destinasi ekopelancongan terunggul di rantau ini.

Baginda bertitah, selain keindahan pantai dan pulau, seni, budaya dan warisan, keunikan Tanah Bencah Setiu ini juga berpotensi menjadi produk pelancongan yang boleh diketengahkan di persada global.

“Bersempena dengan Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia yang disambut pada setiap 2 Feb di seluruh dunia, beta berharap negeri Terengganu khususnya tidak ketinggalan meraikannya bersama-sama dengan masyarakat dunia dalam mencari kaedah bukan sahaja melestarikan khazanah alam pemberian Ilahi ini, malah memikirkan kaedah yang efektif dan proaktif dalam memberi manfaat semaksima mungkin kepada komuniti setempat.

“Di sini, beta percaya, komuniti setempat boleh mengambil peluang menyediakan perkhidmatan pelancongan yang bersesuaian seperti aktiviti menyusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu di samping aktiviti pemerhatian burung, flora dan fauna lain kepada pengunjung yang ingin mengalami suasana alam semula jadi tanah bencah.

“Beta percaya kawasan tanah bencah ini mempunyai kekayaan sumber alam semula jadi yang dapat menjana pendapatan ekonomi kepada komuniti setempat. Pelbagai aktiviti boleh dikomersialkan seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut, industri kecil pembuatan makanan, penternakan tiram dan ketam, selain sebagai tapak pembenihan akuakultur,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Boardwalk Setiu di Pengkalan Gelap di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Pada majlis yang sama, Sultan Mizan turut berkenan merasmikan pelancaran buku ‘Birds of Terengganu’ yang ditulis oleh Anuar McAfee.

Sultan Mizan bertitah Tanah Bencah Setiu adalah masa depan rakyat negeri ini kerana ia adalah antara ekosistem yang amat bernilai dengan pelbagai manfaat dalam membekalkan sumber khazanah dan punca rezeki kepada komuniti setempat.

“Tanah bencah mampu menjadi penahan kepada bencana alam tertentu, meminimumkan risiko bencana banjir dan kemarau serta membantu memberi perlindungan daripada bencana cuaca ekstrem.


“Selain itu, tanah bencah juga berkemampuan menjadi sumber alam semula jadi kepada mata pencarian komuniti setempat selain menyediakan habitat sesuai kepada biodiversiti hidupan flora dan fauna yang pelbagai,” titah baginda.

Baginda bertitah pelancaran Boardwalk Setiu atau laluan santai Tanah Bencah Setiu itu adalah mukadimah kepada memperkenalkan khazanah alam kepada bukan sahaja pelancong luar malah ianya harus membuka minda masyarakat setempat tentang betapa pentingnya memulihara kelestarian dan mengekalkan biodiversiti kehidupan yang merupakan habitat semula jadi flora dan fauna.

“Beta amat yakin pewartaan sebahagian daripada Tanah Bencana Setiu ini amat bertepatan pada masanya dan bakal memberi impak yang besar kepada masa depan tanah bencah.

“Perlulah diberi perhatian bahawa, tindakan dan aspirasi generasi kita sekarang adalah penentu sama ada pelaksanaan melestarikannya dapat dicapai. Kejayaan pula sudah tentu bermula daripada anjakan minda dan keutamaan kita dalam memastikan pelaksanaan peraturan, penguatkuasaan dan implementasi bagi memartabatkan lagi Tanah Bencah Setiu di persada global.

“Beta mengucapkan tahniah atas inisiatif kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Terengganu dengan kolaborasi Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, Petronas, Universiti Malaysia Terengganu, jabatan-jabatan dan agensi kerajaan negeri, persekutuan serta komuniti setempat yang turut terbabit menyumbang dalam menjayakan majlis pelancaran Boardwalk Setiu ini.

“Akhirnya, beta berdoa agar pelancaran ini bakal menjadi permulaan kepada penyediaan prasarana dan kemudahan infra sokongan lain yang memberi lebih keselesaan kepada pengunjung yang ingin merasai pengalaman unik di Tanah Bencah Setiu di Terengganu,” titah baginda. – BERNAMA

Kategori