HANYA kerana tertinggal telefon pintar di dalam sebuah kenderaan Uber, seorang penumpang lelaki terpaksa membayar RM300 kepada pemandu, konon sebagai caj memulangkan telefon pintarnya itu.
Dalam kejadian Ahad lalu di Johor Bahru, Johor, mangsa yang dikenali sebagai Alvin Teo menaiki perkhidmatan itu untuk ke tempat dengan jarak 5.55 kilometer dan dikenakan caj RM18.23 seperti ditetapkan aplikasi itu.
Namun selepas menyedari dia tertinggal iPhone miliknya di dalam kenderaan, mangsa menghantar pesanan kepada pemandu berkenaan agar memulangkan telefonnya.
Menurut Alvin, dia berjanji akan membayar RM100 sebagai bayaran kos penghantaran dan ganti rugi tenaga serta masa pemandu itu.
Bagaimanapun, pemandu Uber tersebut tidak bersetuju dengan jumlah yang ditawarkan melainkan mangsa sanggup mengandakannya kepada Rm200.
“Saya juga guna iPhone…tak perlu bebel dengan saya. Telefon ini mungkin penting buat awak, tapi tak penting untuk saya.
“Itu bukan salah saya, tapi kesilapan awak sendiri. Berapa banyak yang awak sanggup bayar jika saya pulangkan telefon ini?.
“Kalau RM100, lupakan saja sebab ia tidak berbaloi dan saya tidak mahu membazirkan masa disebabkan oleh kesilapan orang lain.
“Lebih baik saya buang barang awak ke dalam tong sampah,” balas pemandu itu menerusi khidmat pesanan ringkas iMessage.
Enggan memanjangkan cerita, Alvin pun bersetuju dengan bayaran sebanyak RM200 dan dia pun menunggu pemandu terbabit di kawasan rumah pada malam tesebut.
Namun mangsa sekali lagi ditipu, apabila mendakwa pemandu tersebut meminta bayaran sebanyak RM300 daripadanya sebaik sahaja mereka bertemu.
Perkongsian lelaki itu kemudian mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang meminta mangsa melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa gara-gara diperas ugut oleh pemandu terbabit
Sementara itu, Ketua Komunikasi Uber Asia Tenggara, Leigh Wong, berkata, pihaknya telah menerima laporan yang dibuat dan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada pemandu terbabit. – MYNEWSHUB.CC