PELAKON, Aidil Aziz, 31, mengakui segelintir masyarakat masih memandang serong terhadapnya selepas terselamat daripada hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan memiliki dadah jenis ganja pada Disember 2016.
Walaupun begitu, Aidil, atau Mohd. Aidil Abdul Aziz menyifatkan persepsi segelintir pihak terhadap dirinya tidak boleh diubah namun tidak menyalahkan mereka untuk berpendapat begitu.
“Bagi saya, apa yang mereka perkatakan adalah berdasarkan apa yang dibaca. Saya pula tidak ada hak untuk halang atau larang mereka daripada terus bercakap,” katanya dipetik portal Harian Metro Online.
Tambahnya lagi, keluarga dan orang terdekat dengan dirinya mengetahui kisah sebenar dan perkara yang telah berlaku itu memberikan pengajaran besar terhadap dirinya terutama dalam soal berkawan.
Umum sedia maklum dengan kontroversi membabitkan pelakon Aidil Aziz sebelum ini sehingga hampir membawa dirinya ke tali gantung kerana dituduh edar dadah dan memiliki senjata berbahaya disahkan bebas daripada pertuduhan tersebut.
Episod hitam yang menyaksikan Aidil meringkuk di penjara juga membuatkan Aidil menjadikannya lebih bersyukur dan beranggapan ada hikmah di sebalik musibah yang diterimanya.
“Kalau di luar banyak dugaan. Apa-apa saja boleh berlaku. Jadi, saya anggap kejadian ini ada hikmah di sebaliknya. Allah nak ‘tegur’ saya supaya lebih ingat kepada-Nya.
“Sepanjang dalam penjara, saya hanya fikir positif. Lagipun, ketika itu saya yakin tidak bersalah,” ujarnya lagi.
Bagi Aidil, dia kini lebih tenang dan tidak lagi berasa tertekan setelah menerima dengan reda dan ikhlas perkara yang berlaku kepadanya.
Dalam perkembangan seni pula, Aidil mengakui berasa bersyukur masih menerima tawaran berlakon walaupun selepas episod hitamnya itu.
“Selepas dibebaskan, pihak stesen TV terus hubungi saya untuk menawarkan berlakon. Namun, saya ambil keputusan untuk berehat dahulu dan meluangkan masa dengan keluarga,” jelas Aidil.
Selepas enam bulan berehat, Aidil kembali bekerja Ramadan lalu menerusi drama bersiri Villa Ghazara selain turut terbabit dalam sitkom ‘Mami Mamu Gosip’ dan drama ‘Cinta Lemon Madu’ siaran TV3. – MYNEWSHUB.CC/EZ