PUTRAJAYA – Tunisia berminat untuk membuka kedutaannya di Kuala Lumpur.
Wisma Putra berkata minat Tunisia itu disampaikan kepada Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican oleh Setiausaha Negara bagi Diplomasi Ekonomi Kementerian Luarnya Hatem Ferjani, pada pertemuan mereka, di sini hari ini.
Pada kunjungan hormat yang berlangsung di Wisma Putra itu, Ferjani dan Reezal Merican juga saling bertukar pandangan serta pengalaman mengenai demokrasi di negara-negara Islam, pembangunan sosioekonomi serta isu-isu serantau yang mempunyai kepentingan bersama ASEAN dan Afrika Utara.
Ferjani yang mengetuai delegasi 10 anggota termasuk ahli perniagaan Tunisia berada di Malaysia untuk lawatan kerja tiga hari bermula semalam.
Pada lawatan ini, delegasi Tunisia akan mempelajari pengalaman dan keupayaan Malaysia dalam perbankan Islam, agromakanan dan industri halal selain pencapaian negara dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
Wisma Putra berkata lawatan itu juga berperanan sebagai platform bagi pelabur Tunisia dan Malaysia meneroka bidang-bidang yang berpotensi di antara kedua-dua negara.
“Delegasi Tunisia melahirkan minat mereka terhadap pembangunan ekonomi Malaysia selain pendekatan kesederhanaan kita,” kata Wisma Putra. – BERNAMA