PETALING JAYA – Tindakan seorang penganggur yang mengugut dengan mengacukan pisau kepada rakan wanitanya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nurshahirah Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazwan Hassan, 26, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu dua anak, Nor Syazuwani Yahaya, 18, dengan mengacukan sebilah pisau sambil memberi amaran agar wanita itu tidak memberitahu maklumat kepada polis.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sunway, di sini, pada 6.30 pagi, 29 Jan lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 29 Jan lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira faktor kepentingan dan keselamatan awam.
“Saya juga pohon mahkamah mengambil kira impak negatif yang dialami mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja dan tidak mampu membayar denda tinggi.
Mengikut fakta kes, semasa mangsa sedang berada di bilik tidur bersama dua anaknya yang masih kecil tiba-tiba didatangi tertuduh yang berdiri di hadapan pintu bilik tidurnya.
Tertuduh kemudian mengarahkan mangsa untuk keluar dari bilik sebelum bertanya soalan kepada mangsa tetapi tertuduh yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu cuba untuk menampar mangsa tetapi gagal.
Mangsa kemudian telah masuk semula ke dalam bilik kerana anaknya menangis namun tertuduh telah mengetuk pintu bilik dan ketika mangsa membuka, dia melihat lelaki itu sedang mengacukan pisau ke arahnya sambil mengugut agar tidak memberitahu pihak polis.
Mangsa yang ketakutan kemudiannya menelefon pihak polis yang tiba beberapa minit kemudian dan tertuduh berjaya ditangkap. – BERNAMA