DENGAN kemenangan bagi kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) menerusi lagu Amboi tempoh hari, Altimet nekad untuk tidak lagi beraksi di pentas.
Bagi Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, hajatnya untuk berhenti daripada bidang nyanyian pada tahun ini membuktikan bahawa dia sudah mencapai usia ‘tuanya’ pada 27 November depan iaitu 40 tahun.
“Saya percaya, Allah beri kemenangan ini bererti cukup-cukuplah saya menyanyi. Saya tidak akan ubah pendirian itu. Saya hanya mampu memanjat kesyukuran atas nikmat ini kepada Tuhan.
“Cukuplah malam Ahad lalu saya melabuhkan tirai membuat persembahan di AJL32. Saya percaya masih tidak ada rapper yang bertanding di pentas itu sebanyak saya,” katanya dipetik daripada BH Online.
Namun, bukan bermaksud penyanyi lagu Kotarayaku itu berasa bongkak mahupun riak kerana baginya kejayaan pada tempoh hari merupakan ingatan daripada-Nya bahawa sudah sampai masa bagi dia berehat daripada bidang nyanyian dan berikan peluang kepada penyanyi baharu yang lain.
AJL32 kali ini merupakan kemunculan Altimet bersaing di pentas berprestij itu buat kali keempat menerusi lagu Amboi yang merupakan ciptaan Navigator dan lirik oleh Altimet sendiri.
Sebelum Amboi, Altimet juga pernah menggegarkan pentas AJL menerusi lagu Kalau Berpacaran, gadniangan bersama Ana Raffali dan Suhaimi Mior Hassan (AJL26), Kalau Aku Kaya bersama Awi Rafael (AJL28) dan Not For Sale bersama Stcy (AJL30).
Kemunculan Nabila Huda ketika persembahan Altimet benar-benar telah mengejutkan penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil ditambah pula dengaan persembahan bertenaga Altimet terus membuatkan kesemua yang hadir bagaikaan ‘dirasuk’ oleh hantu hiphop.
Nyanyian Altimet telah mendapat sambutan hangat daripada penonton yang mana mereka turut bernyanyi bersamanya sehingga membuatkan dia berasa lebih bersemangat bagi membuat persembahan.
Dalam masa yang sama, penyanyi yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu juga turut berharap agar akan ada pelapis penyanyi rapper lain yang bakal memecahkan rekodnya di pentas AJL.
“Terima kasih kepada yang mengundi lagu Amboi hingga menang kategori Persembahan Terbaik. Terima kasih juga kepada kawan-kawan yang menjayakan persembahan lagu Amboi,” katanya lagi.
Jika sebelum ini, ada suara sumbang yang mempertikaikan kelayakan lagu Amboi di pentas AJL32 sehingga membuatkan bekas anggota kumpulan Teh Tarik Crew itu menyuruh mereka membuat patisyen bagi membantah untuk dia terus bertanding.
Kali ini, Alimet sengaja berseloroh dengan menyuruh peminat menghantar petisyen kepada ibunya, Jamalah Agil Alsagoff, jika mereka tidak mahu dia berhenti menyanyi.
“Kalau ada yang nak halang persaraan saya di pentas seni, cubalah pujuk ibu saya… Bukankah syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Jadi, siapa tahu saya boleh ubah keputusan itu,” ujarnya lagi sambil berseloroh.
Keputusannya untuk berhenti bernyanyi bukan bermaksud dia akan menghilangkan diri daripada dunia seni, tetapi sebaliknya dia akan terus menghasilkan lagu buat penyanyi lain.
Biarpun tidak akan muncul di penats lagi selepas 27November depan, Altimet akan tetap bersama dengan penyanyi lain yang mahu menggunakan perkhidmatannya. – MYNEWSHUB.CC/AH