KREATIF… Golongan muda kini berpeluang jadi ‘saudagar berita palsu’ menerusi satu permainan secara talian yang mempromosikan ciri-ciri menipu, menyerang dan mengkritik sesuatu maklumat.
Pasukan penyelidik Universiti Cambridge dengan kerjasama media Belanda membangunkan permainan dalam versi bahasa Inggeris ini demi mewujudkan kesedaran belia mengenai bahana berita palsu dan cara menangani isu itu.
Ia bakal memberi peluang kepada pemain untuk mencipta medium berita palsu mereka sendiri bagi mencetuskan perasaan takut, marah dan tidak percaya netizen menerusi manipulasi pelbagai maklumat secara atas talian.
Para pemain juga boleh memilih bagaimana untuk memalsukan berita tertentu, menggunakan ‘tentera siber’, mereka-reka bukti bohong serta mencetuskan propaganda jahat kepada pelbagai artikel dan teori konspirasi.
Pengarah Makmal Pembuatan Keputusan Sosial di Universiti Cambridge, Sander Van Der Linden berkata, mainan itu boleh bantu membina ‘antibodi mental’ bagi halang golongan muda terjebak dalam penyebaran berita palsu.
“Teori psikologi yang digunakan dalam permainan ini dinamakan sebagai ‘inokulasi’ dan secara tidak langsung membantu golongan muda bagaimana untuk membendung penyebaran maklumat bohong atau berita palsu.
“Ini terutama apabila pemain terbabit perlu berdepan dengan pihak-pihak yang agresif cuba menjatuhkan mereka menggunakan pelbagai maklumat salah,” kata Der Linden kepada agensi berita antarabangsa AFP di London.
Pendedahan secara tidak langsung terhadap penggunaan taktik pihak-pihak yang memang sengaja sering menyebarkan berita palsu boleh mewujudkan ‘vaksin psikologi’ untuk membanteras kempen anti sains palsu.
Berdasarkan kajian saintifik yang dilakukan terhadap pelajar sekolah tinggi di Belanda, permainan itu menunjukkan mereka cenderung untuk berjaya mengatasi penyebaran berita palsu berbanding kumpulan terkawal yang panik.
Permainan online itu dijangka diterjemahkan dalam beberapa bahasa untuk pasaran negara seperti Ukraine yang menyaksikan kempen penentangan berita palsu dilakukan secara besar-besaran. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA