Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Cubaan Dr Mahathir Cabar...

PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini gagal dalam...

KAFA Minta Penaja Selesaikan...

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta penaja-penajanya menyelesaikan tunggakan penajaan...

Perintah Berkurung Di Perairan...

KOTA KINABALU - Perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah, melibatkan enam...

Isu Sayur Romaine Lettuce...

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan artikel bertajuk “Romaine...

Usia 99 Tahun, Tok Mun Sedia Tanding PRU-14

“TOK akan tetap bertanding selagi hayat masih lagi ada,” kata bekas calon bebas ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013 lepas, Maimun Yusof atau Tok Mun yang kini sudah injak usia 99 tahun.

Bagaimanapun, beliau hanya akan bertanding sekiranya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkannya bagi menggunakan simbol istana serta jika ada pihak yang bersedia untuk menyediakan dana kewangan.

“Masa tok pernah bertanding dua kali pilihan raya dulu, tok cuma guna duit simpanan tok sendiri untuk tujuan kempen termasuk deposit sebanyak RM10,000. Tapi sekarang ni tok tak ada duit sendiri.

“Dan kalau ada pihak yang sudi bayar (biaya deposit sebagai calon), tok memang sedia sahaja akan bertanding dengan syarat SPR juga kena luluskan permohonan tok untuk hendak guna simbol istana.

“Kalau guna simbol lain tak ada guna tok bertanding kerana simbol istana itu adalah amanah orang dulu-dulu yang meminta tok menggunakan simbol itu bagi memperjuangkan nasib orang Melayu Islam,” kata Maimun.

Beliau ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, Terengganu. Tok Mun mendakwa, beliau mampu menang PRU sekiranya menggunakan simbol istana.

“Pemerintahan sekarang sudah jauh lari daripada landasan kerana orang Melayu sekarang hanya berada di hadapan sahaja sedangkan belakang mereka adalah bangsa lain dan bukan Islam.

“Tok hanya akan menang kalau guna simbol tu (istana). Dua kali tok bertanding terpaksa guna simbol lain, tok kalah, buat rugi aje,” kata Maimun dengan nada agak kesal.

Tok Mun yang masih ada kekuatan deria pendengaran dan penglihatan baik berkata, biarpun simpanannya sudah banyak habis, beliau tidak serik selagi perjuangannya mahu bentuk pemimpin Melayu Islam tidak tercapai.

“Kalau tok menang, sama ada orang nak ikut atau tak mboh (tidak mahu) ikut itu terpulang kepada mereka, janji tok dah sampaikan amanah tu,” tegas beliau dengan penuh yakin.


Ketika ditanya berkenaan sebuah kereta Perodua Kancil di halaman rumahnya, Tok Mun berkata, kenderaan kecil itu memang adalah miliknya yang dibeli bagi memudahkan bergerak.

“Tok tak reti nak bawa (memandu), kalau tok nak ke mana-mana tempat pun, tok akan minta tolong kawan bawa (memandu), tok bagilah sikit pitih (duit) sebagai upah kat dia,” jelas Maimun.

Calon bebas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-12, 2008 itu dianggap berjaya “mengalih undi” tokoh PAS ketika itu, Mohamad Sabu yang kini merupakan Presiden Parti Amanah Negara (PAN).

Pada PRU-12, Tok Mun menentang Mohamad Sabu dan calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Razali Ismail dan wanita ini hilang wang pertaruhan selepas memperoleh undi hanya sebanyak 685 undi.

Razali memenangi PRU-12 pada 2008 apabila memperoleh sebanyak 32,562 undi, manakala Mohamad pula meraih 31,934 undi. Tok Mun ketika itu turut diitohmah konon ditaja UMNO untuk memecah undi PAS.

Pada PRU-13, Tok Mun yang hanya berkempen dengan menaiki basikal tanpa bantuan jentera kempen untuk meraih undi sekali lagi hilang wang pertaruhan apabila hanya sekadar meraih sebanyak 182 undi.

Ketika itu, kerusi parlimen Kuala Terengganu dimenangi calon PAS, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang kini memimpin PAN Terengganu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Kategori