MALAYSIA merupakan sebuah negara majmuk yang unik di mana setiap perayaan dirai dengan meriahnya tidak kira perayaan Hari Raya AIdilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali mahupun Krismas.
Menariknya, setiap perayaan tersebut diraikan bersama oleh setiap kaum dan agama oleh kerana setiap perayaan mempunyai budaya unik yang ditampilkan.
Namun, perkara ini tidak menjadi kebiasaan buat rakyat asing yang pasti sedikit keliru memandangkan jumlah perayaan yang terlalu banyak di sini.
Perkara tersebut dialami oleh bintang bola sepak Barcelona dan Uruguay, Luis Suarez, yang merupakan duta pelancongan Malaysia yang dilantik Tourism Malaysia untuk mempromosikan negara.
Menjalankan tugasnya, Suarez tampil di laman media sosial sempena perayaan Tahun Baru Cina untuk memberi sedikit ucapan kepada rakyat Malaysia, terutama kepada masyarakat Cina yang meraikannya.
Walaubagaimanapun, perkongsian yang dilakukan Suarez di laman sosial Facebook, Instagram serta Twitter kepunyaannya itu membuat netizen ‘garu kepala’.
Ini kerana gambar yang disertakan Suarez di setiap perkongsiannya itu menyaksikan dia memakai kurta berlatarbelakangkan Batu Caves, sambil mengucapkan ‘Vanakkam’ yang bermaksud selamat dalam bahasa Tamil.
“Selain daripada meraikan dan menikmati kepelbagaian budaya di Malaysia, saya turut belajar beberapa perkataan asas di Malaysia.
“Mungkin saya boleh menggunakan perkataan ini ketika saya berkunjung ke Malaysia.
“Selamat Tahun Baru Cina semua. Malaysia ialah sebuah negara yang meraikan kepelbagaian,” tulis Suarez melalui perkongsian tersebut.
Gambar yang disertakan Suarez itu lebih sesuai untuk sambutan Thaipusam yang disambut penganut hindu.
Perkara tersebut nyata tidak dilepas pandang oleh netizen apabila ramai menegur dan memperbetulkan kesilapan Suarez itu.
“Anda sepatutnya menggunakan gambar ini untuk perayaan Tahun Baru Cina,” komen seorang pengguna Twitter disertakan gambar Suarez berpakaian tradisional Cina berlatarbelakangkan kuil Kek Lok Si yang terletak di Pulau Pinang.
Gambar yang digunakan Suarez itu sebenarnya diambil daripada video Tourism Malaysia yang menunjukkan Suarez berpakaian tradisional untuk semua perayaan dan kesilapan tersebut mungkin tidak disengajakan oleh pihaknya.
Baca: Suarez Terkesima Nikmati Makanan Popular Malaysia
November lalu, Suarez dilantik sebagai duta pelancongan Malaysia oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia selama setahun untuk mempromosikan negara kepada generasi milenial iaitu golongan yang lahir pada tahun 1981 hingga 2001.
Apa-apa pun, ‘Gong Xi Fa Cai’ kami ucapkan kepada Luis Suarez! – MYNEWSHUB.CC/EZ